Sunday, 12 August 2018

Sanggup Hilang Kerja Demi Kembara Merdeka

SHARE


Demi menzahirkan semangat cintakan tanah air, seorang pemandu di sebuah syarikat pengeksport kayu, Azmi Mohamed Nayan sanggup kehilangan kerja semata-mata mahu menyertai Kembara Merdeka Jalur Gemilang 2018.

Azmi, 53, seorang daripada 133 peserta yang menyertai konvoi menjelajah negara bermula dari Pulau Pinang yang dianjurkan Jabatan Penerangan Malaysia.


Azmi berkata, beliau reda dan sanggup berhenti kerja selepas permohonannya untuk bercuti selama sebulan bagi mengikuti program itu tidak diluluskan oleh syarikatnya.

"Pada awalnya cuti saya tak lulus dan saya nekad berhenti kerja, namun akhirnya pihak syarikat beri kelonggaran dan luluskan cuti saya selama sebulan.

"Saya anggap ini hikmah kerana niat saya baik untuk semarakkan rasa cinta terhadap Malaysia dalam hati seluruh rakyat dan saya akan lapor diri untuk bekerja semula pada 3 September depan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas berhenti dan singgah di Masjid Geliga, Kemaman semalam.

Azmi berharap agar konvoi itu menjadi dorongan kepada masyarakat terutama generasi muda untuk bersama-sama mengibarkan Jalur Gemilang sepanjang bulan kemerdekaan sekarang.

Konvoi itu yang diketuai Lim Ann Teck disertai pegawai penerangan, agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Finas da  persatuan motosikal besar.

Turut berkonvoi bersama peserta adalah Pengarah Penerangan Terengganu, Suwadi Guliling dan Pegawai Penerangan Daerah Kemaman, Affendi Ahmad.

Sementara itu, Suwadi berkata, peserta kembara mengambil masa dua hari untuk melepasi Terengganu sejurus mula memasuki Besut kelmarin.

"Kelainannya di negeri hentiannya banyak di masjid seiring dengan nama Terengganu Darul Iman malahan lebih istimewa, ketika di Setiu mereka melihat pertunjukan memanah oleh mereka yang mempunyai latar belakang agama.

"Di Masjid Geliga, Kemaman pula kita sampaikan sumbangan 10 naskah al-Quran kepada pihak masjid.

“Kembara itu melangkaui ideologi politik kerana melibatkan penyertaan semua termasuk wakil rakyat PAS yang juga Adun Kemasik, Ir Saiful Azmi Suhaili yang menyambut ketibaan peserta kembara di Kemasik,” katanya.

Masjid Geliga merupakan hentian terakhir peserta di Terengganu sebelum mereka meneruskan kembara ke Pahang, petang semalam yang mana pelepasan berkenaan disempurnakan Pegawai Daerah Kemaman, Mohd Azahari Md Azahar.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: