Monday, 27 August 2018

Salur Bantuan PMR Zon A Kemaman

SHARE
Haji Hanafiah Mat (kanan) menyampaikan sumbangan kepada penerima.
Oleh: Aliffah Hanisfarhana Suhaidi

KEMAMAN - Kerajaan Negeri Terengganu menyalurkan bantuan kepada 65 penerima dalam Program Membantu Rakyat (PMR) Zon A Daerah Kemaman.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga & Perpaduan Nasional negeri, Haji Hanafiah Mat berkata, beliau diberi kesempatan untuk membantu rakyat dengan menghulurkan sedikit sumbangan barangan dapur.

“Saya berharap dengan sedikit sumbangan yang diberi dapat meringankan beban bagi orang yang kurang berkemampuan,” katanya.


Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam Program Membantu Rakyat (PMR) yang diadakan di Pusat Khidmat Adun Chukai, semalam (26 Ogos).

Menurut Haji Hanafiah Mat yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cukai, beliau mengambil kesempatan untuk memberitahu beberapa perkara berkenaan janji-janji manifesto sewaktu Pilihan Raya Umum Ke- 14 (PRU14).


“Antara yang kita akan bentangkan dalam Sidang Dewan Undangan Negeri pada bulan Disember ini adalah kerajaan akan membayar sebanyak RM300 bagi remaja dan orang muda yang ingin mengambil lesen motosikal pada tahun hadapan .

“Selain itu, pada tahun hadapan juga, warga emas berumur 65 tahun ke atas yang tidak menerima sebarang bantuan serta bukan pesara kerajaan akan menerima bantuan wang sebanyak RM50 sebulan bermula tahun hadapan.

"Selain itu, pesakit-pesakit yang masuk ke wad kelas tiga tidak akan dikenakan sebarang bayaran perubatan," katanya.

Acara program berkenaan dimulakan dengan bacaan doa, ucapan Haji Hanafiah Mat dan pemberian bantuan yang berupa barangan dapur seperti beras, gula, susu dan lain-lain.



Turut hadir, Penolong Penyelia Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) Dewan Undangan Negeri Cukai, Ustazah Fainah Mat, Ahli Jawatankuasa DUN Chukai dan Ahli Jawatankuasa Pemuda DUN Chukai serta Ahli Jawatankuasa Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK).




SHARE

Author: verified_user

0 komen: