Tuesday, 21 August 2018

Salam Aidiladha - ADUN Rantau Abang

SHARE




(فَلَمَّا بَلَغَ مَعَهُ السَّعْيَ قَالَ يَا بُنَيَّ إِنِّي أَرَىٰ فِي الْمَنَامِ أَنِّي أَذْبَحُكَ فَانْظُرْ مَاذَا تَرَىٰ ۚ قَالَ يَا أَبَتِ افْعَلْ مَا تُؤْمَرُ ۖ سَتَجِدُنِي إِنْ شَاءَ اللَّهُ مِنَ الصَّابِرِينَ)

Maksudnya :

Maka ketika anaknya itu sampai (ke peringkat umur yang membolehkan dia) berusaha bersama-sama dengannya, Nabi Ibrahim berkata: "Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu; maka fikirkanlah apa pendapatmu?". Anaknya menjawab: "Wahai ayah, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu; Insya Allah, ayah akan mendapati daku dari orang-orang yang sabar".

[Surat As-Saaffat : 102]

Salam Aidil Adha diucapkan kepada seluruh rakyat Terengganu umumnya, dan  kepada penduduk dan perantau DUN Rantau Abang khususnya.

Sebagaimana yang dinyatakan dalam ayat al-quran di atas, Aidil Adha sangat sinonim dengan kisah agung pengorbanan yang dilakukan oleh Nabi Allah, Ibrahim 'alahissalam serta isterinya Hajar dan anaknya Ismail. Kisah satu keluarga yang dengan taat patuh bersedia melakukan apa sahaja yang Allah perintahkan. Kisah ini juga memaparkan bagaimana iman dan taqwa benar-benar memanifestasikan pengorbanan kerana Allah.

Seterusnya kita saksikan pula bagaimana, pada tanggal 9 Zulhijjah, Al-quran disempurnakan  oleh Allah Azza wajalla sebagaimana  yang difirmankanNYA di dalam Surah Al-Maidah ayat 3:

 الْيَوْمَ أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِينَكُمْ وَأَتْمَمْتُ عَلَيْكُمْ نِعْمَتِي وَرَضِيتُ لَكُمُ الْإِسْلَامَ دِينًا ٌۚ)

Maksudnya :

"Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu, dan Aku telah redakan Islam itu menjadi agama untuk kamu.."

Maka bertepatan dengan dua peristiwa besar ini, marilah kita mengambil ibrah dan pengajaran daripada apa yang dilakukan oleh Nabi Ibrahim dan keluarganya.
Mereka melakukan segala yang diperintahkan dengan penuh kehambaan tanpa keluh kesah dan banyak persoalan.

Seterusnya, marilah sama-sama kita berusaha menyempurnakan pegangan agama kita, ibadah-ibadah kita serta akhlak dan syaksiah kita. Dan jangan kita lupa untuk berpegang teguh  kepada al-Quran dan As-Sunnah dalam menentukan jalan hidup kita.

Saya juga mengajak diri saya dan anda semua  bersama berganding bahu, membantu kerajaan Terengganu untuk membina  Terengganu yang maju dengan limpahan keberkatan Allah Subhanahuwata'alan dan kita hidup penuh kesejahteraan di negeri tercinta ini

Untuk akhirnya, Semoga Aidil Adha ini, semakin mendekatkan kita kepada Allah. Taqabalallahu minna wa minkum taqabbal ya karim.

Terengganu Maju, Berkat, Sejahtera


Ikhlas daripada :

YB. Cikgu Alias Harun
ADUN Rantau Abang
9 Zulhijjah 1439/ 21 Ogos 2018
SHARE

Author: verified_user

0 komen: