Wednesday, 15 August 2018

Pulau Bidong: Antara Singkapan Sejarah Dan Masa Depan

SHARE

Dr Samsuri meninjau monumen tinggalan sejarah Pulau Bidong.

Oleh: Mohd Nasir Abdullah

Pertama kali saya berpeluang menjejakkan kaki ke Pulau Bidong pada 13 Ogos lalu, mengikuti rombongan YAB Menteri Besar Terengganu, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar bersama Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat Negeri, YB Ariffin Deraman, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan Negeri, YB Ustaz Mohd Nor Hamzah, Pengarah Pelancongan Negeri, Tuan Haji Tun Faizal Tun Abdul Razak, wakil-wakil agensi berkaitan dan juga wartawan yang membuat liputan.
Kami bertolak dari Jeti Merang kira-kira jam 8.40 pagi dan sampai ke Jeti Pulau Bidong lebih kurang 25 minit selepas itu. Laut agak tenang, membantu mempercepatkan bot kami membelah laut, kata pemandu bot. Di dalam bot, saya berpeluang bersembang dengan Penolong Setiausaha Exco Pelancongan, Wan Mohd Firdaus Wan Sembak, berkenaan Pulau Bidong. Antara butir perbualan kami ialah berkenaan tindakan oleh kerajaan terdahulu terhadap Pulau Bidong. Bermula daripada Dato’ Seri Idris Jusoh, beliau telah memberikan sedikit penumpuan terhadap pembangunan pulau ini. Namun kedua-dua pengganti Dato’ Seri Idris Jusoh, kelihatan kurang berminat untuk memberikan tumpuan kepada pulau ini. Dikhabarkan, kedua-dua bekas Menteri Besar itu, tidak pernah ke sini bagi membuat tinjauan.


Bagi yang mungkin tidak mengetahui sejarah Pulau Bidong ini, ia adalah sebuah pulau yang pernah diduduki oleh pelarian perang daripada Vietnam. Kumpulan pertama yang sampai ialah kumpulan profesional yang terdiri daripada pakar-pakar serta cendekiawan-cendekiawan yang menentang rejim negara mereka sendiri. Mereka diburu setelah Amerika yang mereka bantu, kalah dalam perang Vietnam sekitar akhir tahun 60-an. Begitulah perangai Amerika, sentiasa menjadi pengacau kepada negara lain. Kumpulan ini tinggal di sini tidak terlalu lama kerana mereka diambil oleh negara ketiga seperti Amerika, Australia dan lain-lain bagi negara-negara ketiga itu menggunakan kepakaran mereka.


Mereka meninggalkan legasi yang sangat bermakna di sini kepada kumpulan-kumpulan seterusnya yang datang. Mereka membuka kelas-kelas seperti kelas kejuruteraan, pasar yang dikatakan sangat maju, kilang roti, empangan mini menjadikan ianya sebagai tempat yang diidamkan oleh pelarian-pelarian Vietnam yang lain yang masih berusaha keluar daripada negara mereka pada waktu itu. Setahu saya, ada dua peristiwa kapal pecah yang membabitkan kematian yang ramai. Satu pada akhir 70-an dan satu lagi kira-kira tahun 1987. Ketika peristiwa yang pertama, cerita daripada orang-orang tua, mereka dapati emas yang banyak ada bersama mayat-mayat itu. Menunjukkan mereka membawa bekal yang cukup sebelum melarikan diri. Pujian harus diberikan kepada Kerajaan Negeri ketika itu dimana mereka segera bertindak memisahkan orang Islam yang ada bersama yang dimaklumi minoriti daripada kumpulan pelarian itu, agar terpelihara agama mereka.


Masa berlalu, dan kumpulan-kumpulan seterusnya yang datang, bukan lagi golongan profesional, tetapi orang biasa. Adalah menjadi kebiasaan, apabila golongan sebegini datang, mereka akan membawa beberapa masalah bersama. Maka Kerajaan Malaysia telah mengisytiharkan bahawa mereka adalah ‘orang hanyut’ dan bukan lagi pelarian perang. Sehingga direkodkan pernah pulau ini didiami lebih 100 ribu orang pada satu masa. Apabila mereka mahu dihantar pulang, mereka sanggup memecahkan kapal-kapal mereka, menggali terowong bawah tanah, bagi mengelakkan diri daripada ditangkap.


Akhirnya pada tahun 1991, orang hanyut ini telah dikeluarkan kesemuanya daripada pulau ini. Tetapi bagaikan ada nilai sentimental, mereka pada tiap-tiap tahun akan datang kembali menziarahi ‘kampung’ mereka suatu masa dahulu, disamping menziarahi kuburan nenek moyang mereka. Tidak sedikit daripada mereka yang telah menjadi golongan yang berjaya sehingga kepada posisi Datuk Bandar San Francisco! Bak kata orang, tempat jatuh lagi dikenang, inikan pula tempat bermain. Itulah nilai kemerdekaan mereka.


Banyak tinggalan-tinggalan mereka di pulau ini. Paling nyata ialah kuburan mereka serta tempat ibadat mereka sepeti patung-patung sembahan mereka. Kerajaan Negeri juga sangat bertuah kerana nun di bawah sana terdapat kumpulan batu karang yang sangat cantik, digilai oleh para penyelam yang cintakan keindahan hidupan laut. Namun isu yang dibimbangkan ialah, Pulau Bidong belum lagi diisytiharkan sebagai Taman Laut. Maka sesiapa sahaja bebas menangkap ikan dan juga mengambil batu-batu karang di kawasan pulau. Saya fikir, ini mesti diutamakan.


Kerajaan Negeri terdahulu khabarnya telah memperuntukkan sebanyak kira-kira RM1.5 juta bagi perbelanjaan pulau ini. Dan YAB Menteri Besar dalam lawatan beliau baru-baru ini telah memberikan jaminan untuk membantu sebarang usaha oleh agensi pelancongan negeri ataupun pihak luar bagi memberi nafas baharu kepada Pulau Bidong. Ia juga bergantung kepada kemampuan kerajaan setelah menerima bayaran royalti daripada Kerajaan Pusat.


Antara yang dicadangkan sebagai berpotensi untuk menarik pelancong selain pantainya yang bersih ialah menjadikannya sebagai pusat pembiakan batu karang dan kawasan pulau diwartakan sebagai Taman Laut, pusat aktiviti ‘snorkeling’ dan penyelaman dimana antara sebab menjadikan kawasan sekitar pulau ini lebih menarik adalah kerana kapal-kapal yang dipecahkan oleh ‘orang hanyut’ dahulu, sekarang telah menjadi rumah kepada ikan-ikan. Kerajaan Negeri juga boleh membina pusat akuatik seperti Taman Bawah Laut dan aktiviti lasak ‘Jungle Trekking’ yang semua ini mungkin tidak memerlukan penginapan atau apa yang dipanggil ‘day trip’ ke pulau ini.


Dengan itu, pengusaha-pengusaha penginapan di Pulau Redang, Lang Tengah dan juga Perhentian tidak menghadapi saingan penginapan, malah membuka lebih pakej pelancongan yang lebih menarik. Begitu juga pelancong-pelancong tempatan dari tanah besar yang mungkin boleh datang tanpa belanja menginap yang besar. Kerajaan Negeri juga boleh berkerjasama dengan pelarian-pelarian awal Vietnam yang kebanyakan mereka telah berjaya, bagi mempromosikan pulau ini, menggunakan kedudukan mereka. Mungkin akan ada sedikit penentangan daripada Kerajaan Vietnam kerana Vietnam pasti akan kekal menganggap pelarian itu sebagai pengkhianat kepada mereka. Namun saya yakin dan percaya, dengan kebijaksanaan YAB Menteri Besar, ianya boleh diselesaikan di peringkat ‘G to G’ (kerajaan kepada kerajaan).


Ia jelas adalah satu sumber ekonomi baharu bagi kerajaan melalui aktiviti pelancongan. Jika benar-benar ia diusahakan dengan cara yang betul, pastinya nama Pulau Bidong akan menjadi satu nama tersohor seantero dunia sebagai sebuah pulau ‘mesti singgah’ bagi pencinta keindahan laut dan juga bagi peminat sejarah bagi melihat sendiri tinggalan-tinggalan pelarian Vietnam. Kami pulang setelah bersiar-siar di sebahagian kecil pulau sejauh kira-kira enam kilometer, turun naik bukit-bukit di sekitar dan diberi peluang menikmati ubi kayu benih daripada Vietnam yang sangat lembut dan enak. Saya yakin usaha ini akan berjaya.

Mohd Nasir Abdullah
Bukit Payong, Marang
15 Ogos 2018



SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: