Wednesday, 22 August 2018

MB Cadang Projek ECRL Diteruskan

SHARE



Dr Ahmad Samsuri (tengah) ditemubual Media di Rhu Muda Marang hari ini
MARANG - Kerajaan PAS Terengganu tidak menyokong pembatalan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) sebaliknya mencadangkan Kerajaan Pusat membuka tender baharu kepada syarikat tempatan atau luar negara yang berminat untuk meneruskan projek itu.

Dipetik dari Berita Harian Online, Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dilaporkan berkata amat merugikan andai ECRL dihentikan terus lebih-lebih lagi proses awal pelaksanaan projek itu sudah berjalan.

"Proses awal membabitkan pembinaan laluan, stesen, terowong dan jambatan sudah pun dilakukan termasuk mengambil alih tanah.

"Malah, ada terowong sudah digali sejauh 50 meter dan pada hemat saya, langkah menghentikan pelaksanaan projek ini satu kerugian, sepatutnya boleh buat proses baru membuka tender kepada syarikat tempatan untuk adakan kerjasama dengan luar negara pada kos munasabah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menyertai Korban Perdana Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang di Dataran Pemuda di Kampung Rhu Muda, di sini, hari ini. 

Semalam, kerajaan memutuskan membatalkan pelaksanaan ECRL dan Saluran Paip Gas Trans-Sabah (TSGP) buat masa ini.


Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, yang mengakhiri lawatan ke China berkata, beliau sudah menyampaikan keputusan itu kepada pemimpin China dan mereka memahami masalah dihadapi Malaysia.


Projek ECRL yang dicadangkan pentadbiran Dato'  Seri Najib Razak mencetuskan kontroversi berikutan kosnya yang mencecah hingga RM70 bilion.


Laluan sepanjang 688 kilometer (km) itu dijangka menghubungkan Pelabuhan Klang ke Pantai Timur melalui Kuantan, Pahang dan Pengkalan Kubor di Kelantan.


Dr Mahathir sebelum ini menolak projek itu sambil menyifatkannya sebagai kontrak ‘pelik’ kerana negara perlu membiayainya dengan pinjaman dari China, selain mengupah kontraktor dari negara itu.


Namun, Dr Ahmad Samsuri berkata, kerajaan negeri masih menunggu maklumat lanjut daripada kerajaan Pusat mengenai pembatalan projek berkenaan.


“Perlu juga ada penjelasan sewajarnya, adakah projek ECRL ini dibatalkan terus tanpa memberi peluang kepada pihak lain mengambil alih atau mengambil inisiatif lain untuk meneruskannya,” katanya.


Beliau berkata, kerajaan negeri amat berharap projek yang memberi manfaat kepada rakyat seperti ECRL dapat diteruskan.


“Walaupun projek ini terhenti selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu, kita berharap ia diteruskan dan menjadi pendirian PAS untuk meneruskan mana-mana projek yang dapat memberi manfaat kepada rakyat.


“Bagaimanapun, kita tetap menghormati dan berharap dapat menjalin kerjasama yang baik dengan kerajaan Pusat.


"Kita juga berharap segala janji yang pernah dimeterai antara kerajaan Pusat dengan negeri dapat diteruskan,” katanya.
SHARE

Author: verified_user


0 komen: