Wednesday, 1 August 2018

Program Smart Ibadah Haji Anak Kemaman

SHARE


Seramai 572 pelajar daripada 20 tadika swasta diberi pendedahan mengerjakan ibadah haji melalui program Smart Haji Anak Kemaman.

Pengarah Program Smart Haji Kemaman, Hilmi Ismail berkata, peserta yang menyertai program pada kali ini didedahkan dengan suasana sebenar mengerjakan haji seperti di Makkah.

"Program hari ini kita buat sebagaimana jemaah haji lalui semasa menunaikan rukun Islam kelima  bermula dari awal berangkat dengan menaiki bas seumpama menaiki kapal terbang ke Makkah dan prosedur yang sama juga dilakukan untuk mengerjakan haji.

“Seperti pengalaman pagi tadi jemaah dilepaskan dengan bacaan doa dan laungan azan, bersalaman, berpelukan sehingga ada yang beremosi sampai menangis walhal ia cuma praktikal,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan program Smart Haji Anak Kemaman di Pantai Teluk Mak Nik, Kemaman hari ini.

Menurut Hilmi, melalui program tersebut bukan sahaja memberi pendedahan pembelajaran secara praktikal kepada pelajar-pelajar ini malah turut memberi peluang ibu bapa untuk belajar bersama.

“Untuk program ini kita juga melihat ramai ibu bapa dalam kumpulan Whatsapp bertanya cara memakai pakaian ihram, berapa kali nak tawaf? berapa biji batu yang kutip untuk melontar jamrah? dan ini adalah merupakan gambaran kejayaan program ini bukan sahaja untuk pelajar malahan juga ibu bapa,”katanya.


Sementara itu, program berkenaan adalah program ketiga sejak tiga tahun lalu dengan kali pertama dijalankan di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) di Kuala Terengganu dan kedua di Kemaman.

Hilmi berkata, ekoran kejayaan pelaksanaan program ini, pihaknya merancang untuk meluaskan lagi penglibatan kanak-kanak pada program berikutnya.

“Kami mensasarkan penyertaan pada tahun hadapan seramai 2,000 kanak-kanak dari lebih banyak tadika swasta dan kerajaan seperti Tadika Perpaduan, Tadika Kemas dan prasekolah,” katanya.
SHARE

Author: verified_user

0 komen: