Friday, 24 August 2018

Program Korban Satukan Ummah

SHARE
Cikgu Wan Hapandi Wan Nik menyapa petugas korban
Oleh: Mohd Asraf

DUNGUN - Program Korban Jama’i yang saban tahun diadakan di surau ini dapat mengeratkan hubungan sesama warga kampung.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Cikgu Wan Hapandi Wan Nik berkata, Hari Raya Aidiladha yang disambut setiap tahun bukanlah tentang korban binatang ternakan semata-mata.


"Namun ia melibatkan pengorbanan dalam kehidupan seharian kita termasuklah harta benda dan jiwa raga.

“Ianya tentang berapa banyak yang mampu kita korbankan demi agama kerana kita melihat Islam di akhir zaman semakin ditekan dan dihimpit.

"Maka itulah salah satu pengorbanan yang seharusnya kita rasai," katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas semasa Program Korban Jama’i anjuran Surau Haji Wan Ismail di Jalan Melati, Sura Dungun, semalam (23 Ogos).


Sementara itu, Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Jalan Melati, Haji Azahar Mohammad berkata, acara korban jama’i hari ini melibatkan tujuh ekor lembu.

“Kita telah membentuk satu jawatankuasa bersama surau bagi memudahkan pengurusan," katanya.

Pengerusi Surau Haji Wan Ismail, Haji Saary Awang bersyukur kerana program korban yang diadakan setiap tahun ini semakin mendapat sambutan di kalangan masyarakat setempat.

“Kita amat gembira dan bersyukur dengan sambutan acara korban ini kerana setiap tahun semakin meningkat penyertaannya dan berharap program seperti ini akan berterusan demi mengeratkan silaturrahim sesama jiran dan jemaah surau," tambahnya.

Sebanyak 50 buah rumah daripada golongan asnaf Kampung Jalan Melati mendapat sumbangan daging yang diagihkan oleh jawatankuasa program tersebut.
SHARE

Author: verified_user

0 komen: