Thursday, 30 August 2018

Pesanan Buat Merdeka Malaysia

SHARE
Anak Merdeka Bumi Bertuah- Gambar Hiasan

Mengajar anak-anak merdeka
menjadi manusia berguna
bukan mudah

sejarah merdeka masih merah
anak-anak merdeka masih mentah
61 tahun nampak tua tetapi masih muda

apa lagi sejarah merdeka berselingkuh
tidak sebersih cinta Burhanudin El-Hilmy pada pertiwi dan agama
tidak seputih janggut Tok Janggut, Mat Kilau, Haji Abdul Rahman Limbong

terpaksa berkelana dan dihina penjajah puaka
hari ini masih menghantui bumi ini
terbelenggu dengan isme dan sistem keparat
mendap berkulat di perigi warga negara

amat sukarkah reformasi merdeka
menghancurkan penjajahan begitu lama
penghuni warga disergah macam tunggul kayu
di malam hari?

amat sukarkah warga merdeka ini menilai
kayu, besi, kaca, permata, gelap dan cahaya?
amat sukarkah negara ini dibersihkan
dari kelodak penjajahan British di persada
warna warni kehidupan anak bangsa Malaysia?

Aku masih sinis dan benci kepada kepura-puraan
suara merdeka ini
masih terpasong dan terpesong.

Anak Merdeka Kuala Terengganu
30 Ogos 2018
SHARE

Author: verified_user


0 komen: