Friday, 31 August 2018

Perutusan YB Ustaz Mohd Nor Hamzah Sempena Hari Kemerdekaan

SHARE
Ustaz Mohd Nor Hamzah.
Dengan penuh rasa rendah diri, saya mengajak semua rakyat Terengganu khususnya dan Malaysia amnya memanjatkan kesyukuran kita sebagai rakyat negara ini yang menyambut kemerdekaan negara bagi kali ke-61. Kemerdekaan yang diraih tanpa pertumpahan darah yang dahsyat, menyelamatkan negara daripada kesan perang yang menakutkan.

Walaupun merdeka kita pada tahun 1957, tetapi perjuangan ulamak yang menjadi negarawan kita adalah jauh lebih dahulu daripada tahun itu. Ramai yang disenaraikan sebagai pejuang menentang penjajah. Di Terengganu contohnya, Haji Abdul Rahman Limbong, Tok Ku Paloh dan ramai lagi wira yang tidak didendang tegas memperjuang dan mempertahankan kemerdekaan dari perspektif Islam. Tiada kompromi yang ditunjukkan oleh Tok Ku Paloh, sewaktu menjadi penasihat Tuanku Sultan Zainal Abidin III, ketika mana Inggeris mahu menduduki Terengganu. Ditolaknya tawaran wang oleh Inggeris, maka keluarlah Inggeris dengan malunya.

Begitu juga kesan peninggalan sejarah Islam di Terengganu yang lebih terdahulu, seperti Batu Bersurat, memberikan isyarat jelas bahawa antara negeri terawal yang merdeka di rantau ini ialah Terengganu. Merdeka dari sisi Islam ialah membebaskan diri dari perhambaan kepada manusia, kepada perhambaan kepada Allah semata-mata. Pejuang-pejuang yang sentiasa teguh dengan niat jihad mereka, membawa Islam ke serata dunia demi memerdekakan dunia.

Kita adalah penyambung kepada mata rantai perjuangan ini. Mereka bukanlah pemulanya dan kita bukanlah pengakhirnya, sehinggalah janji Allah menamatkan hayat dunia ini, maka selagi itu kerja memerdekakan manusia akan berterusan. Maka kita juga tidak mahu ketinggalan untuk memerdekakan jiwa manusia selaras dengan tuntutan Allah. Kerja-kerja dakwah tidak pernah putus, dari sebuah jemaah yang serba kekurangan, sehingga kini memiliki dua buah negeri, ia akan menambahkan lagi semangat kita bagi melakukan kerja kerana Allah. Ianya lebih payah untuk mempertahankan kemerdekaan ini.

Bantulah sesama kita bagi mempertahankan peluang terbesar menyebar dakwah ketika ini atas nama Islam. Jangan kita sia-siakan pemberian Allah ini. Dengan segala kekeliruan umat Islam di serata dunia, akibat serangan bertali arus oleh musuh-musuh Islam untuk memberikan gambaran yang salah terhadap Islam, maka kita harus bangkit memerdekakan minda rakyat bagi mereka terus dipandu ke jalan yang benar. Marilah kita kembali kepada al-Quran dan sunnah rasulullah yang pasti jaminannya tidak kita akan tersesat di dunia dan akhirat. Akhirnya Selamat Menyambut Hari Merdeka, Sayangi Malaysiaku.

Ustaz Mohd Nor Hamzah
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan,
Dakwah dan Penerangan Negeri Terengganu
19 Zulhijjah 1439/ 30 Ogos 2018
SHARE

Author: verified_user

0 komen: