Wednesday, 22 August 2018

Pertimbangkan Semula Keputusan Batal Projek ECRL- Dr. Azman

SHARE

KUALA TERENGGANU - Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim mahu Kerajaan Pusat mempertimbangkan semula keputusan pembatalan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

Menurutnya,  Kerajaan Terengganu sebelum ini sudah banyak melaksanakan kerja pembangunan projek mega itu serta kerajaan negeri sekarang  pula bertanggungjawab melancarkan urusan Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) bagi menjayakannya terutama dalam urusan pengambilan tanah sepanjang laluan yang dicadangkan.

Dr Azman berkata, MRL juga telah mengadakan taklimat tentang progres projek ECRL kepada kepimpinan baru kerajaan negeri.

"Kita tahu ada Bukit Bauk yang telah ditebuk untuk dibina terowong, kelulusan pengambilan tanah telah diberikan oleh kerajaan negeri, depo telah dibina di beberapa lokasi serta pelbagai lagi kerja-kerja yang telah dibuat.

"Meskipun ada kontroversi dari segi nilai projek yang terlalu tinggi, saya berpendapat keputusan membatalkan terus projek adalah sangat merugikan samada dari segi implikasi kewangan untuk membayar ganti rugi kepada China, kehilangan peluang pekerjaan dan yang paling besar ialah menafikan tiga negeri pembangkang Pahang, Terengganu dan Kelantan untuk menikmati impak sosioekonomi yang besar dari pelaksanaan projek ini, "katanya dalam satu kenyataan kepada Urusetia Penerangan Darul Iman, di sini, hari.

Dr Azman berkata, masih belum terlambat untuk mempertimbangkan semula keputusan pembatalan ini.

Tambah beliau lagi,  tenaga pakar yang ada di negara kita boleh dimanfaatkan untuk mencari jalan bagi pengurangan kos tapi bukannya keputusan pembatalan.

Semalam, kerajaan memutuskan membatalkan pelaksanaan ECRL dan Saluran Paip Gas Trans-Sabah (TSGP) buat masa ini.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, yang mengakhiri lawatan ke China berkata, beliau sudah menyampaikan keputusan itu kepada pemimpin China dan mereka memahami masalah dihadapi Malaysia.

Projek ECRL yang dicadangkan pentadbiran Dato'  Seri Najib Razak mencetuskan kontroversi berikutan kosnya yang mencecah hingga RM70 bilion.

Laluan sepanjang 688 kilometer (km) itu dijangka menghubungkan Pelabuhan Klang ke Pantai Timur melalui Kuantan, Pahang dan Pengkalan Kubor di Kelantan.

SHARE

Author: verified_user

0 komen: