Tuesday, 14 August 2018

Perlu Kerjasama Semua Pihak Tangani LGBT

SHARE
Ahmad Samsuri ketika berucap di Majlis Perjumpaan Menteri Besar Bersama Penghulu-Penghulu Terengganu di Wisma Darul Iman. Foto Oleh: Tengku Syamim Tengku Ismail

Usaha membanteras gerakan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) bukan tanggungjawab kerajaan semata-mata tetapi perlukan kerjasama semua pihak.

Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, antara pendekatan untuk menangani masalah golongan ini termasuk melalui tindakan undang-undang, pendidikan, agama dan sebagainya.

 “Selain tindakan undang-undang yang dikenakan oleh pihak penguatkuasaan, aspek pendidikan juga penting dalam membanteras gejala tidak bermoral ini.

“Sebagai contoh, nasihat boleh dilakukan secara berterusan oleh guru-guru di peringkat sekolah untuk mendidik dan memberi kefahaman kepada pelajar-pelajar tentang perkara yang bercanggah dengan ajaran Islam ini terutamanya di peringkat sekolah menengah,” ujarnya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perjumpaan Menteri Besar Bersama Penghulu-Penghulu Terengganu di Wisma Darul Iman, semalam.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan berita mengenai dua wanita didenda RM3,300 dan enam sebatan di Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu Ahad lalu atas tuduhan cuba melakukan hubungan sejenis (lesbian) pada April lepas.

Ahmad Samsuri berkata, kerajaan negeri memandang serius perkara ini dan akan meneruskan usaha untuk mendidik dan memberi penerangan kepada masyarakat dari semasa ke semasa.

“Bagi pihak kerajaan pula, melalui kuliah-kuliah, khutbah Jumaat boleh disebut perkara ini bahawa ianya suatu perkara yang sangat menyongsang dari segi agama dan norma kehidupan manusia.

“Perkara ini bukan berlaku sehari dua tetapi sudah lama dan  memerlukan tindakan  yang lebih serius diambil oleh semua pihak,” ujarnya.

Katanya, ibu bapa dan masyarakat juga perlu memainkan peranan untuk memberi kefahaman kepada anak-anak bermula dari awal usia termasuk menekankan aspek agama, kaunseling dan sebagainya bagi mengelakkan mereka terjebak dengan gejala LGBT.

SHARE

Author: verified_user

0 komen: