Monday, 27 August 2018

Perlu Hormati Perjanjian Yang Dimeterai

SHARE
Dato' Seri Haji Abdul Hadi Awang meninjau unjam yang dilabuhkan di Perairan Marang. 
Oleh: Aziz Hambali

MARANG - Kerajaan pusat perlu meneliti dan membuat penilaian semula ke atas pembatalan yang dibuat oleh Perdana Menteri berkenaan isu Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

Ahli Parlimen Marang, Dato' Seri Haji Abdul Hadi Awang berkata, projek berkenaan akan memberi manfaat kepada rakyat di pantai timur dari segi ekonomi.

"Tetapi di sana ada perjanjian-perjanjian yang tidak menyenangkan, itu yang perlu diperbetulkan.

"Ianya terserah kepada majlis perundingan dan kerajaan pusat untuk membuat penilaian yang terbaik," ujarnya.


Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas dalam Sidang Media Majlis Melabuh Unjam di Marang Waterfront, Jeti Perairan Marang, semalam (26 Ogos).

Dato' Seri Abdul Hadi yang juga Presiden Parti Islam Se-Malaysia (PAS) menjelaskan bahawa tidak mudah untuk kerajaan persekutuan membuat keputusan berhubung perkara itu kerana terdapat perjanjian antarabangsa yang perlu dihormati.

“Tindakan untuk membatalkan ECRL tidak mudah kerana ada perjanjian yang telah dimeterai dan ada perjanjian antarabangsa yang perlu dihormati dan diselesaikan dengan cara yang baik.

"Perkara itu akan mengundang banyak masalah sama ada dibatalkan atau diteruskan, tetapi kita perlu melihat pilihan yang terbaik,” katanya.

Turut hadir, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Haji Yahaya Ali, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Pembangunan Desa dan Asas Tani negeri, Dr Azman Ibrahim dan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi  Maklumat negeri, Sulaiman Sulong.


SHARE

Author: verified_user

0 komen: