Thursday, 30 August 2018

Perjumpaan Agensi Berkaitan Realisasi Projek Pemecah Ombak Kuala Kemasik

SHARE

Oleh: Ahmad Syahid Adnan

KEMAMAN - Pertemuan agensi tempatan bersama Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri, semalam mampu merealisasikan usaha pembinaan benteng pemecah ombak di Pantai Kuala Kemasik dengan lancar.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Insfrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri, Ir Saiful Azmi Suhaili berkata, perjumpaan itu menjelaskan secara terperinci kepentingan struktur 'cove' untuk perlindungan dan keselamatan nelayan.

Beliau yang merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemasik berkata, rakyat dan nelayan adalah pelanggan kerajaan negeri yang berhak mendapat pembelaan dan kemudahan dari kerajaan.

Menurut beliau lagi, kira-kira 20 bot nelayan musnah akibat tragedi malang yang menimpa penduduk Kuala Kemasik suatu masa dahulu tidak seharusnya berulang dengan pembinaan cove sepanjang 300 meter itu.

Tambahnya, seramai 250 nelayan dapat mencari rezeki dengan aman dan selamat apabila siapnya projek itu kelak.



"Semoga dengan pengalaman masa lepas, kita dapat maju ke hadapan dan memperoleh manfaat kepada semua orang pada masa akan datang," katanya.

Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada pelbagai pihak yang terlibat termasuk Bahagian Pengurusan Zon Pantai JPS Malaysia, JPS Negeri Terengganu dan JPS Daerah Kemaman, PLAN Malaysia Terengganu, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Daerah Kemaman serta Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Kemaman.


SHARE

Author: verified_user

0 komen: