Friday, 31 August 2018

Perarakan Hari Kebangsaan Ke 61 Penuh Warna Warni

SHARE

Lintas langsung perarakan di hadapan pentas,  disaksikan Tengku Muhammad Ismail (duduk tengah). - Foto Harish Fadzillah

KUALA TERENGGANU - Hari Kebangsaan Sempena Kemerdekaan Negara Ke 61 Peringkat Negeri Terengganu disambut meriah bermula di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah seawal 6.50 pagi dan berakhir di Dataran Batu Burok jam 11.15 pagi 31 Ogos.

  Dengan tema 'Sayangi Malaysiaku' para peserta bersemangat menyertai kawat perbarisan pasukan masing-masing sehingga selesai.

  Sejak awal pagi kontinjen perarakan sudah mula memenuhi ruang stadium mengikut kategori yang ditetap penganjur.
Jam 7.15, pasukan perarakan siap mengambil tempat masing-masing di dalam stadium.

  Berikutnya,  jam 7.30 pagi Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri,  Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri,  Dewan Negara,  Dewan Rakyat,  Pegawai-pegawai Kerajaan serta dif-dif tiba dan mengambil tempat di stadium berkenaan.

  Jam 7.45 pagi, Menteri Besar Dr.  Ahmad Samsuri Mokhtar dan Isteri,  Tuan Faizah Tuan Ab. Rahman tiba di stadium.

  Mereka disambut oleh Setiausaha Kerajaan Negeri,  Dato' Haji A.  Rahman Yahya dan Isteri,  To' Puan Hajjah Kamsiah Dollah,  Pengerusi Jawatankuasa Agung Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri,  Encik Arifin Deraman dan Isteri, Puan Arinah Lah.

  Turut menyambut, Panglima Markas 8 Briged Infantri Kota Bharu,  Brig.  Jen. Haji Muhammad Huzaimi Sabri dan Isteri, Puan Rosilawati Ahmad Tajri,  Timbalan Ketua Polis Negeri,  Dato' Idris Abdullah serta semua Ahli Jawatankuasa Agung Sambutan dan Isteri.

  Acara bermula dengan penyerahan Bendera Jalur Gemilang oleh Dr Ahmad Samsuri kepada Encik Ariffin kemudian menyerahkan jalur gemilang itu kepada anggota Tentera Laut Diraja Malaysia untuk dinaikkan.

  Seterusnya nyanyian lagu 'NegaraKu' secara beramai-ramai,  diiringi dengan lagu negeri,  'Terengganu Maju,  Berkat dan Sejahtera'.

  Imam Besar Masjid Negeri, Encik Aizi Saidi Abdul Aziz memimpin bacaan Surah Al-Fatihah dan doa untuk disedekahkan kepada ruh para pejuang kemerdekaan negara.

  Sejurus selepas itu Menteri Besar Terengganu, menyampaikan Perutusan Hari Kebangsaan ke 61 yang menegaskan bahawa negara perlu dibebaskan dari belenggu sistem penjajahan untuk merasai kemerdekaan sebenar.

  Selepas itu,  Stadium Sultan Ismail Nasarudin Shah bergema dengan laungan 'Merdeka' sebanyak tiga kali menandakan kerajaan dan rakyat bersatu hati serta berhasrat mengisi kemerdekaan berpaksikan Al-Quran dan Sunnah.

   Dr Ahmad Samsuri dan isteri beredar dari majlis dan perarakan pun bermula dari stadium itu menuju Dataran Batu Burok dengan perjalanan sejauh 2.8 kilometer untuk acara terakhir.

  Yang Dipertuan Muda Terengganu,  Tengku Muhammad Ismail Ibni Sultan Mizan Zainal Abidin berangkat bersama Tengku Nadhirah Zahrah meraikan majlis tersebut.

   Kira-kira 3,262 peserta dari 106 Kontinjen pelbagai kategori menyertai perarakan yang penuh  warna warni dengan iringan cuaca yang agak baik.

  Sebanyak 84 katogeri perarakan dipertandingkan manakala selebihnya kategori tidak dipertandingkan. 
SHARE

Author: verified_user


0 komen: