Monday, 13 August 2018

Penghulu 'Orang Tengah' Kerajaan Dan Rakyat

SHARE
Ahmad Samsuri ketika berucap di Majlis Perjumpaan Menteri Besar Bersama Penghulu-Penghulu Terengganu di Wisma Darul Iman, hari ini. Foto Oleh: Tengku Syamim Tengku Ismail
Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar mahu penghulu di negeri ini menjadi ‘orang tengah’ termasuk dalam menyampaikan maklumat mengenai permasalahan rakyat di peringkat akar umbi untuk perhatian dan tindakan pihak kerajaan.

Beliau berkata, mak­lumat tersebut diperlukan supaya setiap dasar yang diolah dapat membantu menyelesaikan masalah rakyat.

Katanya, kerajaan negeri juga akan sentiasa menjaga kepentingan mereka agar dapat melaksanakan amanah yang dipertanggungjawabkan dengan lebih berkesan.

“Penghulu perlu mainkan peranan yang sewajarnya kerana antara tugas mereka adalah untuk menyampaikan segala dasar dan maklumat yang dilaksanakan kerajaan supaya rakyat tahu.

“Penghulu adalah satu unit yang amat penting dalam masyarakat, kalau berlaku masalah di antara mereka maka tentulah menjejaskan pelbagai perkara termasuk pentadbiran kerajaan.

 “Jadi, dengan menekankan kepentingan mereka, saya yakin mereka dapat menjalankan tugas dengan lebih baik,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perjumpaan Menteri Besar Bersama Penghulu-Penghulu Terengganu yang dihadiri oleh seramai 76 penghulu dari peringkat tertinggi sehingga ke penghulu mukim di Wisma Darul Iman, hari ini.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ A. Rahman Yahya.

Ahmad Samsuri berkata, pertemuan yang diadakan secara santai itu adalah pertemuan pertama beliau bersama penghulu negeri ini dan ianya akan diadakan dari semasa ke semasa.


“Hari ini adalah lebih kepada pertemuan santai dimana untuk kita meneruskan hubungan dan saling faham memahami antara satu sama lain.

“InsyaAllah, akan ada pertemuan lagi dalam pelbagai bentuk dan cara.

“Selepas ini juga, kita akan bincang dengan persatuan mereka sendiri apa yang kerajaan boleh bantu dari segi ketrampilan dan sebagainya,” ujarnya.
SHARE

Author: verified_user

0 komen: