Sunday, 12 August 2018

Pemuda Maut Kereta Rempuh Tembok Pagar

SHARE
Superitendan Baharudin Abdullah
Seorang lelaki berbangsa India maut selepas kereta yang dipandunya terbabas sebelum melanggar sebuah tembok pagar rumah di kilometer 82.5, Jalan Kuantan - Kuala Terengganu, semalam.

Dalam kejadian pukul 10.30 malam itu, Partiban a/l Ravi Chandran, 25 , maut di lokasi kejadian akibat kecederaan dalaman dalam kemalangan tersebut.

Ketua Polis Daerah, Superitendan Baharudin Abdullah ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berkenaan kejadian tersebut.

Partiban a/l Ravi Chandran
Menurutnya mangsa berasal dari daerah Kuantan, Pahang dan ketika kejadian mangsa dalam perjalanan dari Bandar Paka menuju ke Bandar Dungun.

"Kejadian berlaku ketika hari hujan dan kereta Proton Wira yang dipandunya hilang kawalan akibat jalan yang licin ketika melalui satu selekoh.

"Kereta mangsa dikatakan melanggar sebuah tembok pagar sebuah rumah yang terletak di sebelah kiri jalan menyebabkan kereta yang dipandunya mengalami kerosakan teruk," katanya.

Keadaan kereta mangsa yang remuk teruk selepas melanggar tembok pagar.

Katanya, dua buah kereta lain yang berada di laluan yang sama dikatakan cuba membrek untuk mengelak kereta mangsa namun kedua-duanya terbabas dan berlaku perlanggaran.

"Situasi jalan yang licin menyebabkan kereta mereka tidak dapat dikawal lalu berlaku sedikit perlanggaran namun kedua-dua pemandu tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya.

Menurutnya, sepasukan anggota perubatan yang tiba tidak lama kemudian telah mengesahkan mangsa sudahpun meninggal dunia akibat kecederaan yang dialaminya.

Tambahnya, kes akan disiasat dibawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk proses bedah siasat dan untuk urusan pengebumian.
SHARE

Penulis: verified_user

TUHAN TIDAK AKAN MENGUBAH NASIB HAMBANYA KECUALI HAMBANYA BERUSAHA UNTUK MENGUBAH DIRINYA SENDIRI

0 komen: