Wednesday, 15 August 2018

Operasi Bersepadu TBAR Catat Rekod Tertinggi

SHARE


Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu mencatatkan rekod  tertinggi dalam satu Operasi khas di kawasan Terengganu Bebas Asap Rokok (TBAR) di Pantai Batu Buruk, Kuala Terengganu  dengan 172 notis kesalahan dikeluarkan dalam tempoh dua hari.

Operasi yang diketuai oleh Ketua Penolong Pengarah Unit Inspektorat dan Perundangan Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu, Mohamad Jaafar,  disertai hampir 97 anggota penguatkuasa kesihatan daripada lapan daerah termasuk bantuan sembilan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Kuala Terengganu.

Taman Batu Buruk


Menurut Mohamad Jaafar, operasi  selama dua hari bermula kelmarin atas kesalahan merokok yang dijalankan dalam satu Operasi khas TBAR di Pantai Batu Buruk, Kuala Terengganu menempatkan lapan pasukan daripada setiap daerah di empat lokasi panas bermula pada 10.00 pagi hingga 9:00 malam.

"Antara kawasan panas terlibat adalah di kawasan Medan Selera Pusat Kolam Renang, Medan Selera Batu Burok, Medan Selera Laluan Pantai Batu Buruk dan kawasan pentas utama Batu Buruk.

"Hasil operasi kali ini merupakan notis tertinggi yang berjaya kami keluarkan dengan nilai perolehan  hasil operasi berjumlah RM43,000.

"Kami juga mendapati masih ramai yang tidak mematuhi peraturan yang dikuatkuasa walaupun banyak notis telah dipasang dan puntung-puntung dan kotak rokok bersepah di depan papan tanda yang terpampang besar di hadapan tempat larangan merokok ini," katanya dalam satu kenyataan kepada pemberita.

Dr. Mohammad Omar
Sementara itu, Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu, Dr Mohammad Omar, ketika dihubungi berkata, TBAR di kawasan Pantai Buruk adalah yang pertama di negeri ini dan  telah dilancarkan pada 13 Julai 2017 atas inisiatif pewartaan di bawah Kerajaan Negeri Terengganu.

Ianya merupakan kawasan yang diwartakan di bawah Seksyen 22 Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 sebagai salah satu kawasan larangan merokok.

Beliau menasihatkan orang awam yang mengunjungi kawasan ini agar dapat mematuhi peraturan larangan merokok di kawasan ini.

"Mana-mana orang yang merokok di kawasan TBAR boleh diberi notis kesalahan serta-merta dan boleh dikenakan kompaun RM250 yang mana tawaran pengurangan kompaun ini boleh dibuat di mana-mana Pejabat Kesihatan Daerah terdekat di seluruh Malaysia dalam tempoh dua bulan selepas penerimaan notis ini.

"Sabit kesalahan jika gagal menjelaskan bayaran kompaun boleh didakwa ke mahkamah dengan denda sehingga RM10,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali," ujar Dr Mohammad.

Katanya lagi, operasi sebegini akan diteruskan sehinggalah tahap kesedaran masyarakat tercapai dalam memastikan kawasan tumpuan awam dan perlancongan ini benar-benar bebas dari asap rokok.

Tambahnya, sebanyak tujuh projek TBAR akan dirancang dan diperluaskan lagi ke daerah-daerah lain.

"Antara perluasan projek TBAR  yang dirancang 2018 ialah Taman Padang Astaka (Kemaman), Tasek Kenyir (Hulu Terengganu), Dewan Arena Square (Dungun), Taman Awam Pulau Kekabu (Marang), Taman Awam Gong Badak (Kuala Nerus), Broad Walk (Setiu) dan Kota Putera Square (Besut).

"Pihak kami telah memberi tempoh selama enam bulan bagi menjalankan kempen promosi dan penerangan kepada orang awam di kawasan ini  termasuk kempen-kempen di media massa dan penguatkuasaan sepenuhnya telah bermula sejak bulan Julai tahun ini," ujarnya.

Namun begitu tabiat buruk perokok masih meningkat sehingga terdapat banyak aduan yang pihak mereka terima daripada orang awam tentang aktiviti merokok di kawasan ini.

Menurutnya, sepanjang tempoh hampir satu bulan penguatkuasaan dijalankan secara berjadual bagi setiap daerah bermula Julai lepas, sebanyak 154  notis kesalahan telah dikeluarkan di kawasan ini.

Justeru, bagi memastikan kawasan ini bebas merokok, sebanyak tiga 'billboard' besar dipasang di pintu masuk dan  kawasan tumpuan awam. Selain itu lapan papan tanda kawasan larangan merokok, 10 kain rentang dan 40 bunting turut dipasang di kawasan ini.

SHARE

Author: verified_user

0 komen: