Wednesday, 8 August 2018

Muslimat Gagah, Wanita Perkasa

SHARE
Alias Harun menyampaikan ucapan penghargaan kepada jawatankuasa PPWK.

Oleh: Nooreini Abu Bakar

Muslimat PAS Terengganu diseru agar tidak menyerahkan tugas memperkasa dan memartabatkan wanita Terengganu kepada pegawai-pegawai kerajaan yang ada semata-mata.

Timbalan Pengerusi Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga & Perpaduan Sosial negeri, Alias Harun berkata, kita harus membawa mereka mencapai hala tuju kehidupan yang berdaya saing dan benar di sisi agama.

“Kita sedang merangka jabatan-jabatan berkaitan wanita supaya dapat dimanfaatkan untuk mencapai hasrat kerajaan negeri selaras dengan konsep maju, berkat dan sejahtera”, ujarnya.


Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan sempena Lawatan Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga & Perpaduan Sosial Negeri Terengganu ke Pusat Pembangunan Wanita Kelantan (PPWK), Chempaka, baru-baru ini (5 Ogos).

Delegasi tersebut diketuai oleh Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga & Perpaduan Sosial negeri, Hanafiah Mat. Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manir, Ustaz Helmi Harun dan Ketua Dewan Muslimat PAS Negeri Terengganu (DMPNT), Zarani Othman.

Alias Harun yang juga ADUN Rantau Abang berkata, wanita adalah aset terpenting dalam membina keluarga sekaligus masyarakat yang bersatu-padu dan sejahtera.

"Justeru, kerajaan serius dalam memastikan pembangunan wanita dalam pelbagai aspek termasuk pendidikan, modal insan, ekonomi dan sebagainya diambil tindakan yang sewajarnya," katanya.


Sementara itu, Ketua DMPNT, Zarani Othman amat tertarik dengan jawatankuasa khusus untuk pemerkasaan wanita di bawah Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan Negeri Kelantan, Mumtaz Mat Nawi.

"Dengan aktiviti-aktiviti termasuk bengkel jahitan berasaskan sulaman, kraftangan, kelas masakan dan kulinari, taska, kursus-kursus keusahawanan dan lain-lain lagi yang disediakan oleh PPWK, ianya amat berguna untuk dijadikan panduan kepada kerajaan negeri.

“Begitu juga dengan PPWK yang ditubuhkan di setiap DUN,” tambahnya.



SHARE

Author: verified_user

0 komen: