Tuesday, 14 August 2018

Melon Manis Terengganu Terbaik

SHARE
Dr Azman Ibrahim meninjau hasil tanaman Melon Manis Terengganu. Foto - Tengku Syamim Tengku Ismail
Oleh: Ahmad Mawardi Abdullah

KUALA TERENGGANU - Kerajaan negeri berusaha untuk memastikan pengeluaran Melon Manis Terengganu (MMT) ditingkatkan, agar dapat memenuhi pasaran dan diperluaskan ke pasaran luar negara.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, kerajaan memandang ke depan dalam usaha menjamin dan menjadikan Negeri Terengganu sebuah negeri utama yang menyumbang kepada pembekalan makanan.

"Tidak perlu menoleh ke belakang untuk menyalahkan kerajaan yang lalu.

"Saya sangat optimis untuk menjayakan program memperkasakan pertanian di negeri ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sewaktu Lawatan Kerja Ke Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) di Peradong, Manir, hari ini.


Tambahnya, lawatan yang diadakan bertujuan untuk berbincang dan menyelesaikan masalah pengurusan yang dihadapi.

Beliau berkata, pihaknya akan  mengoptimumkan penggunaan tanah pertanian dan membina kemudahan yang mampu melonjakkan impak kepada ekonomi masyarakat sekitar.

"Ini adalah untuk membina rantaian ekonomi kepada semua pihak dengan mengambil kira pandangan masyarakat setempat," ujarnya.

Menurutnya, Program Tanaman Melon Manis adalah di bawah kelolaan Fertigasi dan Sistem Pelindungan Hujan.

TKPM Peradong adalah salah satu daripada 57 TKPM di Malaysia dan merupakan TKPM yang terkecil saiz tapaknya.

Disebabkan saiznya yang kecil, maka Jabatan Pertanian akan menjadikan TKPM Peradong sebagai lokasi TKPM yang berteknologi tinggi.

Ianya bagi menjamin keupayaan yang setara dengan TKPM yang lainnya dari segi nilai pengeluaran hasilnya.

Sementara itu, Dr Azman Ibrahim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi sangat menekankan agar golongan petani dari kalangan orang kampung memberi input yang terperinci berkenaan permasalahan serta cadangan-cadangan yang bernas.

Kita bertekad untuk mencapai objektif kerajaan bertepatan dengan Pelan Induk Terengganu Sejahtera (PITAS 2030).


Turut hadir, Timbalannya yang juga ADUN Manir, Ustaz Hilmi Harun, Pengarah Pertanian Negeri Terengganu, Penolong Pegawai Daerah Kuala Terengganu serta beberapa agensi.

“Buah melon manis ini mempunyai potensi yang besar. Sekarang ini, Jabatan Pertanian Negeri, Terengganu Agrotech Development Corp (TADC) dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Terengganu sedang mengadakan ujian pasaran untuk produk MMT ini dengan kerjasama Universiti Malaysia Terengganu (UMT).

"Ianya bertujuan untuk memperkenalkan buah tersebut ke pasaran luar negara.

"Mereka mempunyai keyakinan yang tinggi bahawa MMT mempunyai masa depan yang cerah kerana ia mampu menghasilkan 66 tan setahun hasil tiga kali pengeluaran melon.

"Peningkatan lima kali pengeluaran melon manis setahun dengan kualiti terbaik adalah target di tahun yang akan datang," katanya.

MMT turut dijadikan sebagai produk ‘butik’ Terengganu kerana hanya ditanam di Terengganu sahaja.

Dr Azman Ibrahim turut dibawa melawat tapak fertigasi tanaman melon manis.
SHARE

Author: verified_user

0 komen: