Tuesday, 14 August 2018

MB Harap DUN Terengganu Terbaik Seluruh Malaysia

SHARE
Kuala Terengganu - Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu diharapkan menjadi contoh DUN terbaik seluruh Malaysia dengan menonjolkan kualiti perbahasan dan idea ahlinya dalam menyelesaikan masalah rakyat.

Haji Yahaya (Duduk: Tiga dari kiri) bersama ADUN dan pegawai kerajaan selepas kursus khas selesai. 

Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata dengan kursus khas untuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Pegawai Khas mereka akan menonjolkan keliber sebagai Ahli Yang Berhormat.
   
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Penutup Kursus Khas kepada ADUN dan Pegawai Khas mereka di Dewan Gamelan 2 Aras 3 Primula Beach Hotel di sini pada 14 Ogos.

Teks Ucapan beliau dibacakan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Dato' Haji A Rahman Yahya. Turut hadir di majlis berkenaan, Yang Dipertua DUN, Haji Yahaya Ali, Penasihat Undang-undang Negeri Negeri Dato' Haji Azhar Abdul Hamid dan Timbalan Pegawai Kewangan Negeri Tuan Ahmad Azmi Salleh.

Kursus itu menyentuh soal bagaimana menjadi seorang ADUN yang baik dalam konteks Peraturan-peraturan dan Perintah-perintah Tetap DUN serta Pentadbiran Kerajaan Negeri yang disampaikan oleh Setiausaha DUN, Encik Zulkifly Isa.

Encik Zukifly juga menyampaikan kursus berhubung dengan Hak dan Keistimewaan serta Peruntukan Seorang ADUN.

Sementara Sedutan-sedutan Penting Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Terengganu Terengganu disampaikan oleh Dato' Haji Azhar.

Seterusnya Menteri Besar mengharapkan DUN  Terengganu menjadi contoh terbaik kepada seluruh rakyat Malaysia dengan menonjolkan kualiti perbahasan dan idea yang baik bagi menyelesaikan masalah rakyat.

Beliau juga mengharapkan semua ADUN negeri ini menjalankan tanggungjawab dengan baik kerana ia akan ditanya oleh Allah pada hari akhirat kelak.

Dr Ahmad Samsuri juga mengajak mereka bermuhasabah (membuat perhitungan) terhadap segala tugasan yang dibuat  supaya dinilai sewajarnya di sisi Allah.

Dr Ahmad Samsuri yang juga ADUN Rhu Rendang berkata dengan  bantuan pegawai khas masing-masing segala urusan mereka dengan rakyat dan kerajaan dapat dipermudahkan sebaik mungkin.

 "Saya mengajak Yang Berhormat semua untuk sama-sama kita bermuhasabah akan tanggungjawab yang telah ditaklifkan kepada kita.

 "In Sya Allah dengan bantuan pegawai-pegawai khas yang hadir pada hari ini juga akan memudahkan lagi urusan kita melaksanakan tugas kepada rakyat," jelasnya.
SHARE

Author: verified_user


0 komen: