Wednesday, 22 August 2018

Manifestasi Hari Arafah, Tidak Membezakan Darjat

SHARE


Foto : Tg Syamim Tg Ismail

KUALA TERENGGANU – Perhimpunan di Arafah tidak membeza-bezakan darjat kedudukan manusia sama ada kaya atau miskin, warna kulit dan bahasa.

Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, ianya menunjukkan bahawa Islam itu merupakan agama yang tidak membeza-bezakan umatnya kecuali ketaqwaan.

“ Manifestasi itulah seharusnya menjadi pengajaran dan panduan buat kita semua terutamanya Kerajaan Terengganu,


"Untuk berlaku adil kepada semua rakyat dan warga tanpa melihat kedudukan, warna parti dan sebagainya serta semuanya mesti dilayan secara saksama sebagai rakyat Terengganu,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Program Penghayatan Hari Arafah yang dibacakan oleh Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Yahaya Ali di Dewan Konvensyen Taman Tamadun Islam, di sini,  semalam, (20 Ogos).

Katanya, hari Arafah juga menjadi simbolik kepada penyatuan umat Islam yang datang dari pelbagai negara dan kaum. Oleh itu, semuanya berkumpul dan bersatu di bawah satu panji iaitu Islam.


“Kesatuan ini sewajarnya diperkukuhkan dalam kehidupan seharian umat Islam di seluruh dunia dan di Malaysia khususnya,

“Umat Islam wajib bersatu memperjuangkan dan mempertahankan agenda Islam sebagaimana yang termaktub dalam perlembagaan, Islam Agama Persekutuan dan inilah kekuatan yang mahu kita natijahkan dari penghayatan terhadap Hari Arafah,” ujarnya.

Menurutnya, perhimpunan umat Islam di Arafah juga mengingatkan akan satu perhimpunan perdana yang akan ditempuhi iaitu perhimpunan seluruh umat manusia di Padang Mahsyar.


Tambahnya, seharusnya, Hari Arafah ini memberikan keinsafan kepada semua untuk bermuhasabah diri sebelum dipanggil menghadap Allah Taala dan sekali gus menambahkan keimanan terhadap hari akhirat.

Pada masa sama, katanya menjadikan umat Islam sebagai manusia yang berintegriti dan mempunyai akauntabiliti dalam kehidupan seharian.




SHARE

Author: verified_user

0 komen: