Saturday, 4 August 2018

Maklum Segera Jika Ada Musibah - JKM

SHARE
Ghazali 
Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) perlu melaporkan sebarang bencana dalam kawasan mereka kepada Jabatan Kemajuan Masyarakat (JKM) dengan segera.

Penolong Pengarah JKM Terengganu, Ghazali Awang berkata, ia bertujuan supaya bantuan dapat disalurkan dengan mudah dan lancar.

"JKM telah dilantik sebagai urusetia pengurusan bencana di peringkat daerah. Bermakna, segala penyiasatan, pengumpulan maklumat dan penghantaran maklumat akan dilakukan oleh pihak kami," katanya ketika memberi penerangan kepada ahli MPKK Daerah Dungun dalam Kem Jati Diri MPKK di Akademi Bomba Wilayah Timur, Wakaf Tapai, Marang, hari ini.

Kem tersebut dihadiri 250 peserta yang didedahkan dengan modul berkaitan pengurusan dan pentadbiran desa.

Ghazali memberi penerangan bersama wakil Maidam dan wakil Pejabat Pembangunan Persekutuan.

Ghazali turut memaklumkan bantuan rumah bernilai RM40,000 dan bantuan musibah berjumlah RM25,000 diluluskan jika berlaku bencana melibatkan kehilangan rumah.

"Bantuan ini akan disalurkan melalui Tabung Darul Iman (TDI). Namun, ia berpandukan dokumentasi siasatan dan laporan daripada JKM," katanya.

SHARE

Author: verified_user

0 komen: