Friday, 3 August 2018

Lelaki Ditahan Miliki Senapang Patah

SHARE

Seorang lelaki ditahan kerana memiliki selaras senapang patah buatan sendiri yang disimpan di bahagian bonet belakang kereta selepas ditemui dalam keadaan yang mencurigakan.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daud berkata, suspek berusia 28 tahun yang memandu Produa Kancil, ditahan di persimpangan Kampung Dusun, Hulu Terengganu oleh sepasukan pegawai dan anggota cawangan Jabatan Siasatan Jenayah Daerah Hulu Terengganu.

Menurutnya, suspek diminta memberhentikan kenderaan di bahu jalan sebelum pemeriksaan dijalankan dan sebaik membuka bonet kereta itu polis menemui sehelai kain sarung bewarna hijau.

"Sebaik membuka kain itu, kita menemui selaras senapang patah buatan sendiri bersama sembilan biji peluru bewarna ungu dan hijau.

"Dari hasil siasatan polis, didapati suspek tidak mempunyai rekod lampau dan dan hasil ujian air kencing adalah negatif," katanya pada sidang media di IPD Hulu Terengganu, semalam.

Mohd Adli berkata, pihaknya difahamkan bahawa suspek memperoleh senapang itu daripada individu berasal dari negara jiran dua tahun lepas dan menggunakannya untuk pemburuan haram.

Suspek yang berasal dari Kampung Kuala Dura ditahan dan direman selama empat hari bermula 31 Julai hingga 3 Ogos 2018 dan kes disiasat di bawah Seksyen 8 (a) Akta Senjata 1960 manakala senjata terbabit dihantar ke makmal forensik PDRM untuk tindakan lanjut.


SHARE

Author: verified_user

0 komen: