Thursday, 30 August 2018

Lelaki Direman Bantu Siasatan Kes Pegawai Kanan APMM

SHARE
Seorang Pegawai Kanan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) berpangkat Leftenan Komander ditahan oleh 2 anggota polis.
KEMAMAN - Susulan kes rasuah membabitkan seorang Pegawai Kanan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) berpangkat Leftenan Komander yang ditahan direman selama tujuh hari mulai kelmarin, semalam seorang lagi orang awam ditahan bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Lelaki terbabit yang berumur dalam lingkungan empat puluh tahun itu dibawa ke Mahkamah Sesyen dan Majistret Kemaman untuk direman selama enam hari bermula semalam.

Perintah reman yang berakhir 3 September depan itu dikeluarkan oleh Hakim Badrul Munir Mohd Hamdy di Mahkamah Majistret Kemaman di sini, semalam.

Lelaki terbabit akan didakwa terlibat dalam kes berkenaan dan dipercayai menjadi orang tengah kepada pegawai kanan APMM terbabit bagi memungut sejumlah wang daripada pemilik atau tauke bot nelayan asing berkenaan.

Tindakan tersebut dilakukan bagi tujuan melepaskan bot-bot nelayan asing yang ditahan APMM yang menceroboh dan menjalankan aktiviti menangkap ikan dalam perairan negara ini.

Wang berkenaan kemudiannya dipercayai dimasukkan oleh lelaki terbabit ke dalam akaun milik beberapa individu lain.


Siasatan akan dijalankan mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Akta Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLATFUPUAA 2001).

Sebelum itu, suspek yang berusia 40 tahun tiba kira-kira jam 9.00 pagi di pekarangan Mahkamah Sesyen dan Majistret Kemaman sebelum keluar dari kamar mahkamah kira-kira satu jam kemudian.

Suspek yang berkerja sendiri ditahan di Pejabat SPRM Cawangan Kemaman kira-kira jam 4.30 petang semalam.





SHARE

Author: verified_user

0 komen: