Sunday, 5 August 2018

Kerajaan Negeri Salur Bantuan Segera Kepada 60 Mangsa Ribut

SHARE
Maliaman meninjau keadaan bemgkel kemas yang turut terjejas akibat ribut

Kerajaan negeri akan menyalurkan bantuan segera melalui peruntukan Tabung Darul Iman dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat bagi membantu lebih 60 penduduk yang terlibat dengan kejadian ribut di Felda Bukit Bading, Ajil.

Ahli Dewan Undangan Negeri Ajil, Maliaman Kassim berkata, beliau sudah berbincang dengan wakil Pejabat Daerah dan penghulu mukim untuk menyelesaikannya secepat mungkin bagi meringankan beban penduduk.

"Kontraktor dah mulakan kerja mereka sejak semalam sebab kita bimbang dengan keadaan cuaca yang tidak menentu ini berulang dan menjejaskan keselamatan penduduk.

"Sehingga hari ini, sebahagian rumah telahpun diganti atap baru, hanya tinggal sedikit sahaja yang sedang dalam proses menukar atap manakala bangunan yang mengalami kerosakan akan diselia oleh Koperasi Felda bagi dibaiki dengan segera supaya dapat digunakan kembali," ujarnya.

Dalam kejadian petang semalam, puluhan penduduk di Felda Bukit Bading, Ajil mengalami detik cemas apabila kawasan berkenaan dilanda ribut berserta hujan lebat menyebabkan rumah mereka mengalami kerosakan teruk selain beberapa batang pokok tumbang.

Kejadian ribut itu dikatakan disertai hujan air batu yang berlaku secara tiba-tiba dalam tempoh kira-kira sepuluh minit, namun menyebabkan hampir 60 rumah penduduk dan 30 bangunan mengalami kerosakan terutama pada bahagian atap.

Kalsom menunjukkan sebahagian atap rumahnya yang rosak akibat dilanda ribut

Seorang mangsa, Kalsom Othman, 70, yang menetap lebih 60 tahun  di situ berkata, dia hanya mampu menangis apabila melihat bahagian ruang tamu rumah pusakanya hampir ranap keseluruhannya akibat diterbangkan angin.

"Masa kejadian saya ada di rumah sedang menyediakan juadah petang, dengar bunyi angin yang sangat kuat diikuti hujan air batu, sekejap sangat diikuti dengan bunyi seakan-akan letupan kecil.

"Mak cik dan dua orang anak lelaki kemudian menjenguk keluar dan mendapati atap rumah telahpun diterbangkan angin...hampir 50 keping atap rosak," katanya kepada pemberita ketika ditemui di rumahnya di Felda Bukit Bading, hari ini.

Sejurus selepas itu, kata Kalsom, air hujan mula memasuki ruang bilik tidur dan mengenai tilam serta perabot rumahnya.

"Ini merupakan kali keempat dalam tempoh 60 tahun mak cik tinggal di sini dan kejadian kali ini yang paling teruk. Mungkin kawasan rumah kami ini merupakan laluan angin ribut," katanya yang bimbang mungkin kejadian sama akan terus berulang di masa akan datang.

Difahamkan pada hari kejadian tersebut, beberapa buah kampung turut terjejas termasuk Kampung Tok Randok, Tok Gebok dan Bukit Diman tetapi kadar kerosakan yang dialami cuma sedikit.




SHARE

Author: verified_user

0 komen: