Friday, 24 August 2018

Kerajaan Negeri Hulur Bantuan Kepada Keluarga Mangsa Lemas

SHARE
Hanafiah Mat
KEMAMAN - Kerajaan Negeri Terengganu akan menghulurkan bantuan kepada tiga keluarga mangsa yang lemas ketika mandi- manda di Pantai Teluk Kalong bersama empat lagi rakannya yang lain pada hari Khamis (23 Ogos) bagi meringankan beban yang ditanggung oleh keluarga mangsa.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan , Pembangunan Wanita dan Keluarga dan Pembangunan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata, sumbangan yang diberikan sebagai tanda prihatin kerajaan negeri serta melahirkan rasa sedih di atas kejadian yang menimpa keluarga mangsa.

"Bantuan berupa wang tunai akan diberikan kepada keluarga mangsa sebagai satu usaha untuk meringankan beban yang ditanggung oleh ahli keluarga mangsa di samping kita akan memikirkan bantuan yang lain untuk meringankan beban mereka," katanya.

Hanafiah ( dua dari kiri ) diberikan taklimat berkenaan operasi mencari dan menyelamat oleh pegawai operasi dari PDRM.
Hanafiah yang melahirkan rasa sedih di atas kejadian tersebut berkata, kejadian yang berlaku sangat mengejutkannya kerana ianya berlaku pada hari kedua sambutan Hari Raya Aidiladha dan ketika kejadian ketiga - tiga mangsa sedang menghabiskan masa cuti mereka berkelah di pantai tersebut.

"Ini amat mengejutkan saya kerana di lokasi yang sama pada tiga tahun lepas sudah berlaku kejadian yang sama dan hari ini sekali lagi dikejutkan dengan kejadian lemas dan kali ini ianya meragut nyawa tiga orang," katanya ketika ditemui oleh pemberita di lokasi kejadian, malam tadi.

Tambah Hanfiah, kejadian yang berlaku adalah satu ujian dari Allah dan beliau berharap supaya keluarga tabah dalam menghadapi ujian yang diberikan dan beliau merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam usaha mencari kesemua mangsa.


Hanfiah ( kiri ) bertemu keluarga mangsa di lokasi kejadian.
Pada masa yang sama, Hanafiah juga mengingatkan orang ramai supaya dapat mematuhi amaran papan tanda bahaya yang telah disediakan oleh pihak berwajib di kawasan pantai tersebut dan berharap orang ramai lebih peka dengan keadaan cuaca di kawasan pantai sekiranya mahu melakukan sebarang aktiviti.

"Banyak papan tanda amaran sudah diletakkan di sekitar pantai tersebut namun masih ada yang engkar dengan amaran tersebut dan pada malam ini sudah berlaku kehilangan nyawa dan kita tidak mahu ada lagi kehilangan nyawa akibat dari sikap tidak acuh ini, " katanya.

Dalam kejadian jam 6.30 petang itu, Ahmad Daniel Firdaus Zubir, penuntut Universiti MSU, Kuala Lumpur , Khairil Ikmal Danial Zamzuradi, penuntut Politeknik Kota Baharu,Kelantan dan Shahir Aqil Shahrun, penuntut Politeknik Sultan Ibrahim , Johor , yang kesemuanya berusia 19 tahun dikhuatiri lemas  selepas dihanyutkan  arus deras ketika sedang mandi bersama empat lagi rakannya yang lain.

 Sehingga jam 12.00 tengah malam tadi, ketiga - tiga mangsa masih belum ditemui dan operasi mencari dan menyelamat masih diteruskan di sepanjang persisir pantai tersebut sebelum ianya diteruskan pada skala yang lebih besar pada pagi tadi.


SHARE

Author: verified_user

TUHAN TIDAK AKAN MENGUBAH NASIB HAMBANYA KECUALI HAMBANYA BERUSAHA UNTUK MENGUBAH DIRINYA SENDIRI

0 komen: