Tuesday, 14 August 2018

Kerajaan Jangka Lantik Wanita Jadi ADUN

SHARE
Haji Yahaya Ali
KUALA TERENGGANU - Dewan Undangan Negeri (DUN) dijangka melantik seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) wanita  bertaraf senator di Persidangan DUN November ini  selepas perbincangan dan mengambil kira aspek perundangan dan perkenan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin Ibni Al-Marhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah.

Yang Dipertua DUN, Haji Yahaya Ali berkata, bagaimanapun perkara tersebut masih dalam perbincangan dan beliau mengharapkan pelantikan itu boleh dibuat dalam Persidangan Bajet DUN November ini.

"Saya mengharapkan dalam  sidang DUN yang akan datang  boleh diselesaikan perkara ini.

"Namun ia bergantung kepada perbincangan demi perbincangan yang sedang dibuat.

"Kita belum tetapkan lagi persidangan akan datang, jika boleh perkara ini akan disekalikan dengan sidang bajet sekitar bulan November ini," kata beliau.

Haji Yahaya (kiri) merasmikan Kursus Khas Kepada ADUN Terengganu di Primula Beach Hotel Kuala Terengganu.
Haji Yahaya berkata demikian ketika ditemui pemberita dalam sidang media selepas merasmikan Kursus Khas kepada ADUN Terengganu di Dewan Gemilang Primula Beach Hotel di sini, hari ini (14 Ogos).

Turut hadir di majlis tersebut ialah ADUN-ADUN, Pegawai-pegawai Khas ADUN, pegawai serta kakitangan kerajaan yang lain.

Menurut Haji Yahaya, peruntukan dalam Undang-undang Tubuh bagi Negeri Terengganu berhubung dengan perkara ini telah diluluskan sewaktu Kerajaan Parti Islam Se-Malaysia (PAS) tahun 1999 hingga 2004 tidak lama dahulu.

Antara ADUN yang hadir dalam Kursus Khas Untuk ADUN Terengganu di Primula Beach Hotel Kuala Terengganu.
Ianya telah dimasukkan dalam Undang-Undang Tubuh Negeri sebagaimana Perkara 27 (2) yang menyatakan bahawa sekiranya tidak ada wakil dalam kalangan ahli-ahli dewan wanita, dewan boleh melantik wanita sebagai ahli dewan.

Katanya, fokus kerajaan ialah mahu melihat wanita berperanan dalam DUN Terengganu.

"Walaupun mereka tidak menjadi calon dan tidak terpilih dalam pilihan raya tetapi mereka mempunyai peranan yang sama dengan ADUN yang lain termasuk boleh bercakap, berbahas dan mengemukakan soalan kepada DUN Terengganu.

"Cumanya sedikit perbezaan dengan ADUN yang dipilih dalam pilihanraya ialah mereka (ADUN Wanita)  tidak boleh mengundi, selainnya mereka mendapat hak yang sama seperti ADUN lain," jelasnya lagi.

Haji Yahaya yang juga Timbalan Pesuruhjaya III PAS Terengganu berkata, mereka hanya sebagai seorang ADUN yang berstatus senator, tidak bertanggungjawab kepada mana-mana kawasan pilihan raya.

Katanya, perkara ini dalam proses perbincangan termasuk soal elaun dan keistimewaan sebagai ahli dewan kerana ia melibatkan undang-undang.

Justeru perkara ini perlu dirujuk kepada pihak yang lebih tinggi termasuk Pegawai Undang-undang Negeri.

"Yang penting ialah kerajaan negeri mahu jadikan dewan kita ini berkesan.

"Sebab itu saya sebutkan tadi beberapa perkara yang menjadi amalan negeri lain berkait dengan soal 'select comitee', seperti Jawatankuasa Hisbah yang bertanggungjawab kepada semua termasuk badan eksekutif dan legislatif (DUN) perlu diwujudkan," ujarnya lagi.
SHARE

Author: verified_user


0 komen: