Tuesday, 28 August 2018

Kampung Bukit Perlu Bantuan Tingkat Penanaman Jagung

SHARE
 Ahli MPKK kampung bersama pengusaha jagung.
KUALA TERENGGANU - Kampung Bukit memerlukan jalan yang lebih lebar untuk merancakkan industri penanaman jagung hybrid yang semakin mendapat tempat di kalangan penduduk.

Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), Ahmad Buniyamin Razimi, 33, berkata jalan yang sempit menyukarkan jentera dibawa masuk dalam usaha memperbesarkan lagi industri tersebut sebagai perusahaan kampung.

"Setakat ini, kita ada lapan pengusaha dan hanya mampu mengeluarkan 10,000 tongkol jagung setiap bulan.

"Kita harap dengan bantuan yang disalurkan, akan dapat menambah jumlah pengusaha dan mempertingkatkan hasil," katanya ketika ditemui pemberita di kampung tersebut sempena temu mesra bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Payung, Mohd Nor Hamzah dalam program Berbasikal Ke Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Payung, baru-baru ini.

ADUN Bukit Payung, Mohd Nor dan pegawai daerah, Azmi Razik menyampaikan palk penghargaan dan sumbangan benih jagung.
Dalam pada itu, Salman Muhammad, 34, yang merupakan Bendahari MPKK kampung itu turut memohon supaya bantuan-bantuan memudahkan pengusaha dapat dilaksanakan dengan segera.

"Sebelum ini, pelbagai usaha telah dilakukan oleh penduduk kampung bagi merancakkan industri ini, namun tiada hasil yang tuntas diperoleh.

"Kita harap dengan pentadbiran baru ini, sedikit sebanyak masalah dapat diselesaikan segera secara berperingkat," katanya.

SHARE

Author: verified_user

0 komen: