Sunday, 19 August 2018

Jenazah Dua Beradik Dituntut Waris

SHARE
Abdullah Yusof
KEMAMAN - Jenazah dua beradik yang maut selepas kereta Proton Wira yang dinaiki  bersama ibu bapa mereka dirempuh oleh sebuah kenderaan lain di kilometer 304, Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2) kelmarin, dikebumikan di kampung ibunya, di Kuala Terengganu, semalam.

Jenazah Weaam Lukman , 8 bulan dan kakaknya , Wedad Abdullah, 2 tahun 7 bulan, akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Beladau Kepok, Serada, selepas Solat Fardu Asar.

Sebelum itu,  jenazah baru selesai menjalani proses bedah siasat kira-kira jam 2 petang bagi mengenal pasti punca kematian.

Menurut bapa sepupu kepada kanak - kanak malang tersebut, Abdullah Mohd Yusuf, 25, ketika ditemui di perkarangan Unit Forensik Hospital Kemaman berkata, dia menerima panggilan pada jam 12.50 tengahari semalam ketika sedang berehat di rumahnya di Kampung Labohan, Kerteh .


Abdullah ketika ditemui oleh pihak media di perkarangan Unit Forensik Hospital Kemaman.
Menurutnya, selepas menerima panggilan tersebut dia bergegas pergi ke Hospital Kemaman untuk mengecam jenazah kanak-kanak tersebut.

"Memang terkejut bila dimaklumkan berkenaan perkara tersebut dan apabila proses pengecaman mayat dilakukan memang benar kedua-dua mereka adalah anak sepupu saya,"katanya.


Abdullah berkata, ketika kejadian, kesemua mereka dalam perjalanan dari Madrasah Tahfiz Al Zahra (Mata), Gelang Patah, Johor, untuk pulang menyambut Aidiladha di kampung bapanya di Yala, Thailand.


Menurutnya , bapa dan ibu kepada kanak-kanak berkenaan bekerja sebagai tenaga pengajar di madrasah tersebut dan kali terakhir dia melihat mangsa ketika menghadiri majlis perkahwinan rakannya di Yala pada Jun lepas.


Tambah Abdullah, ketika kejadian, bapa kepada kanak-kanak itu tidak mengetahu bahawa kedua anaknya sudah meninggal dunia dan dia juga diminta doktor pakar yang bertugas untuk menyampaikan berita sedih itu kepada bapanya.


"Memang dia (bapa) terkejut sangat bila mengetahui berkenaan perkara tersebut dan saya menyuruhnya bersabar dan menyatakan ini adalah ujian dari Allah untuk mengangkat darjat mereka sekeluarga.


"Saya sendiri berasa sedih kerana masih lagi terbayang keletah mereka ketika bertandang ke rumahnya dan saya menganggap apa yang terjadi ini ada hikmahnya yang Allah akan beri nanti,"katanya.



Dalam kejadian jam 11.15 pagi semalam, kereta Proton Wira yang dinaiki mereka sekeluarga di rempuh oleh sebuah kereta jenis Perodua Axia ketika sedang berhenti di bahu jalan untuk berehat.

Akibat dari rempuhan tersebut, kereta Proton Wira itu remuk teruk di bahagian belakang menyebabkan kedua-dua kanak- kanak tersebut tercampak keluar dan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat mengalami kecederaan dalaman anggota badan.

Rempuhan tersebut turut mengorbankan penumpang Perodua Axia, Haznah Ali, 59, yang duduk di bahagian belakang tempat duduk penumpang dan jenazahnya dibawa pulang ke Johor untuk dikebumikan.



SHARE

Author: verified_user

TUHAN TIDAK AKAN MENGUBAH NASIB HAMBANYA KECUALI HAMBANYA BERUSAHA UNTUK MENGUBAH DIRINYA SENDIRI

0 komen: