Tuesday, 21 August 2018

Jangan Masuk Campur Hal Ehwal Agama Orang Islam

SHARE

Wan Hassan Wan Ramli.

Kerajaan Negeri mengecam tindakan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) yang mempertikai damempersoalkan keputusan Mahkamah Tinggi Syariah Negeri yang menjatuhkan hukuman denda dan sebatan syariah terhadap pasangan lesbian yang ditahan baru - baru ini.

Ahli Parlimen Dungun, Wan Hassan Wan Ramli dalam satu kenyataan rasminya berkata, tindakan yang dilakukan oleh badan bukan kerajaan (NGO) itu dilihat sebagai salah satu tindakan yang tidak menghormati keputusan mahkamah.

Menurut Wan Hassan, tindakan sedemikian adalah satu cubaan untuk memburukkan  undang - undang syariah di negara ini dan tidak menghormati agama islam keseluruhannya.

"Mereka mempersoalkan hukuman yang dibuat itu telah melanggar hak asasi manusia dan saya lihat perkara tersebut tidak pun melanggar hak asasi manusia kerana hukuman yang dikenakan sikit pun tidak mencederakan dan memudaratkan.

"Jadi saya lihat tindakan yang dibuat seolah-olah merestui perbuatan yang dilaknat oleh Allah dan ini yang kita risaukan. Seperti ada pihak yang membela dan merestui perbuatan golongan ini," katanya.

Menurut Wan Hassan, Negeri Terengganu mempunyai undang -undang yang sudah termaktub di dalam perlembagaan negeri dan semua pihak harus menghormatinya.

"Pasangan tersebut sudah mengaku salah dan apabila pengakuan bersalah itu diperolehi, hukuman mesti dilakukan sebagai peringatan kepada mereka yang lain supaya tidak melakukan perkara yang sama," katanya.

 Justeru itu, Wan Hassan menggesa pengerusi Suhakam mengeluarkan satu permohonan maaf kepada rakyat Malaysia kerana tidak menghormati hak asasi orang Islam di negara ini.

"Islam adalah agama rasmi di negara ini dan itu kenyataannya dan harus dihormati kerana kita tidak mahu perbuatan songsang ini akan merebak dan sekali gus menjadikan ianya satu budaya yang akan menghancurkan bangsa dan agama itu sendiri, " katanya.
SHARE

Author: verified_user

TUHAN TIDAK AKAN MENGUBAH NASIB HAMBANYA KECUALI HAMBANYA BERUSAHA UNTUK MENGUBAH DIRINYA SENDIRI

0 komen: