Saturday, 4 August 2018

Jabatan Kesihatan Negeri Kesal Penyebaran Berita Palsu HFMD

SHARE
Dr Mohammad 
Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) menafikan ada mengeluarkan kenyataan berkenaan terdapat beberapa pasaraya di Terengganu disahkan positif Penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD).

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu, Dr Mohammad Omar berkata, pihaknya kesal dengan sikap sesetengah individu yang sengaja menyebarkan berita palsu tersebut sehingga menimbulkan kebimbangan penduduk berkenaan penularan wabak penyakit tersebut.

Menurutnya, penyebaran beritu palsu tersebut adalah satu tindakan tidak bertanggungjawab yang bertujuan untuk menimbulkan keadaan huru-hara  berikutan dengan peningkatan kes penyakit tersebut di negara ini.

"Ini adalah satu tindakan yang paling kita kesalkan kerana individu yang menyebarkan berita palsu tersebut tidak mendapat maklumat yang sebenarnya dan hanya mendengar kepada info yang palsu dari sumber yang tidak diiktiraf," katanya ketika dihubungi Urusetia Penerangan Darul Iman, semalam.

Mohamad berkata, pihaknya membuat persediaan rapi bagi mengekang wabak tersebut dari terus merebak serta hebahan dan kempen yang efektif bagi menyedarkan orang ramai berkenaan wabak tersebut.

Menurutnya, orang ramai boleh mendapatkan maklumat terkini dan tepat berkenaan penyakit tersebut di Pejabat kesihatan Negeri dan tidak perlu mudah mempercayai penyebaran berita palsu di laman sosial.

"Kita harap masyarakat supaya tidak mudah terpengaruh dengan berita palsu dan harus mendapatkan maklumat yang tepat dari pihak yang sepatutnya supaya tidak timbul rasa bimbang di kalangan mereka,"katanya.

Mohammad juga mengingatkan orang ramai supaya dapat membuat langkah pencegahan di rumah dan memantau berkenaan kesihatan anak-anak mereka bagi mengelakkan penyakit tersebut berjangkit kepada kanak-kanak yang lain.

"Ibu bapa perlu melihat keadaan sekeliling dan sentiasa berwaspada berkenaan kesihatan anak mereka. Merekajuga perlu melakukan langkah pencegahan di rumah masing -masing seperti menggunakan air yang bersih dan membersihkan anak-anak mereka apabila pulang dari bermain di luar," katanya.

Tambahnya, kesedaran terhadap penyakit tersebut di kalangan ibu bapa juga sudah mula meningkat dan ini adalah hasil dari kempen yang berterusan dari pihaknya dalam memberi kesedaran berkenaan bahaya penyakit HFMD terhadap anak mereka.
SHARE

Author: verified_user

TUHAN TIDAK AKAN MENGUBAH NASIB HAMBANYA KECUALI HAMBANYA BERUSAHA UNTUK MENGUBAH DIRINYA SENDIRI

0 komen: