Saturday, 4 August 2018

Ibu Bapa Risau, Ambil Langkah Berjaga-jaga Kekang Wabak HFMD

SHARE
Segelintir ibu bapa masih membawa anak - anak beriadah di tempat terbuka biarpun timbul kegusaran terhadap penularan wabak HFMD
Penularan Penyakit Tangan, Kaki dan Mulut (HFMD) menunjukkan peningkatan apabila merekodkan sebanyak 41,798 kes jangkitan wabak itu di seluruh negara setakat ini, termasuk melibatkan dua kes kematian kanak-kanak iaitu di Pulau Pinang dan Sarawak.

Pengumuman oleh Kementerian Kesihatan Malaysia menyatakan sehingga 1 Ogos lalu, sebanyak 849 kes baru HFMD dilaporkan di seluruh negara dengan berlakunya peningkatan sebanyak 13 peratus berbanding sebelum ini.

Dengan peningkatan ketara wabak tersebut sedikit sebanyak menimbulkan kegusaran ibu bapa terhadap keselamatan kesihatan anak mereka kerana kebanyakan ibu bapa yang bekerja terpaksa menghantar anak mereka ke pusat asuhan.

Tinjauan yang dibuat di Kawasan Rekreasi Kemaman Waterfront hari ini, mendapati meskipun wujud kebimbangan berkenaan jangkitan penyakit tersebut, ibu bapa masih membawa anak-anak mereka untuk keluar bersiar-siar di kawasan terbuka pada waktu petang  

Ibu bapa yang ditemui menyatakan bahawa mereka sedar bahawa penyakit tersebut boleh tersebar melalui pelbagai cara dan mengambil beberapa langkah pencegahan ketika berada di rumah bagi mengelak jangkitan penyakit tersebut.

Ermi Mat Yaman
Bagi seorang sukarelawan sebuah pusat jagaan kanak-kanak, Ermi Mat Yaman, 33, peningkatan penyakit itu membuatnya mengambil beberapa langkah pencegahan di pusat jagaannya dan langkah pencegahan berkenaan turut dipraktikkan di kediamannya bagi mengekang penularan wabak tersebut terhadap dua anaknya yang masih kecil.

"Memang bimbang kalau nak bawa pergi ke tempat-tempat terbuka dan tambah risau apabila ada yang meninggal dunia akibat HFMD.

"Langkah pencegahan yang saya buat di rumah ialah dengan menjaga kebersihan contohnya air tu saya guna air tapis, elakkan anak dari menggunakan air kotor dan sekiranya  pergi ke tempat permainan terus saya mandikan serta pakaian dia tu saya akan basuh dengan air panas," katanya.

Rukiah Dollah

Bagi seorang warga emas, Rukiah Dollah , 58, dia mengetahui berkenaan penyakit tersebut  melalui pembacaan surat khabar dan merasa bimbang apabila mengetahui ia boleh merebak melalui pelbagai cara.

"Bimbang jugalah sebab sekarang benda itu merebak dan paling takut bila pergi ke pasaraya apabila guna troli kerana kanak-kanak tabiatnya suka menggigit pemegang troli dan itu yang makcik paling takut bila pergi ke pasaraya sekarang," katanya.

Chan Kem Kee
Bagi seorang pekerja swasta, Chan Kem Kee ,51, aspek penjagaaan kebersihan di kediamannya menjadi satu keutamaan apabila dia akan memastikan kebersihan persekitaran dan dalaman sentiasa dipantau bagi mengelakkan jangkitan berlaku kepada dua orang anaknya.

"Memang ada bimbang sikit kerana anak saya masih bayi lagi dan memang cepat merebak dan saya ada terbaca di dalam suratkhabar bagaimana ianya merebak jadi bila anak-anak berada dirumah saya akan pastikan kebersihan diri mereka menjadi perkara yang penting bagi saya," katanya.

Malah, katanya apa yang diharapkan oleh ibu bapa ialah supaya pihak Kementerian Kesihatan dapat mengambil tindakan drastik bagi mengelakkan wabak HFMD dari terus merebak  agar anak-anak mereka dapat menjalani kehidupan yang normal sepertimana sebelum ini.


SHARE

Author: verified_user

TUHAN TIDAK AKAN MENGUBAH NASIB HAMBANYA KECUALI HAMBANYA BERUSAHA UNTUK MENGUBAH DIRINYA SENDIRI

0 komen: