Thursday, 23 August 2018

Ibadah Korban Rapatkan Ukhuwah Tanpa Mengira Fahaman Politik

SHARE
Maliaman bersama sebahagian petugas dan peserta korban pada kali ini


HULU TERENGGANU:Ibadah Korban dapat merapatkan ukhuwah tanpa mengira fahaman politik malah menyuburkan semangat kerja berpasukan dan gotong-royong dalam kalangan umat Islam.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ajil, Ustaz Maliaman Kassim berkata, ibadat korban diadakan bersempena peristiwa Nabi Ibrahim dan anak baginda Nabi Ismail yang begitu banyak menyumbang pengajaran sekiranya ia dihayati.

“Ia tidak hanya memupuk semangat pengorbanan dalam diri, bahkan juga hubungan sesama insan dalam masyarakat. Ibadat korban ini juga peluang baik untuk kita berkongsi nikmat dengan orang lain.

"Pada hari ini, sempena majlis korban yang dilaksanakan, kita dapat merapatkan hubungan ukhuwah tanpa mengira fahaman politik kerana kita jemput semua untuk bertugas tanpa mengira latar belakang mereka.

"Kerjasama sebegini sangat penting  supaya dapat mewujudkan satu jaringan kerjasama dalam kalangan masyarakat walaupun dari latar belakang politik yang berbeza," katanya kepada pemberita di Majlis Korban Sempena Aidil Adha di kediamannya di Kampung Peroh, Ajil, di sini hari ini.

Sebanyak lapan ekor lembu dikorbankan dan dagingnya akan diagihkan di persekitaran sini termasuk di masak untuk hidangan orang ramai.

Tambah Maliaman, penglibatan masyarakat amat menggalakkan dan membantu kelancaran program yang dianjurkan pada kali ini.

"Insha Allah pada tahun hadapan, kita akan buat dengan lebih baik,  mungkin ada penambahan jumlah lembu dari lapan kepada 10 ekor supaya daging dapat diagihkan dengan lebih meluas dan lebih ramai penduduk dapat merasainya.

Sementara itu salah seorang peserta korban, Zakaria Mohammed dari Kampung Ajil berkata, tahun ini merupakan kali kelima beliau melaksanakan ibadah korban di kediaman Ustaz Maliaman dan amat berpuas hati dengan kelancarannya.

"Saya sudah lima tahun melakukan korban di sini kerana urusannya sangat mudah dari segi penyembelihan dan melapah pula dilakukan oleh petugas yang dilantik khas untuk melaksanakan kerja ini.

"Cuma yang berbeza pada tahun ini, Ustaz Maliaman bergelar ADUN tetapi ia tidak menjejaskan program tersebut malah merasa teruja kerana dapat bersama-sama beliau melaksanakan ibadah korban dalam suasana yang berbeza,"ujarnya.


SHARE

Author: verified_user

0 komen: