Sunday, 19 August 2018

Gotong-Royong Bersihkan Rumah Pesakit Parkinson

SHARE

Oleh: Nooreni Abu Bakar

DUNGUN - Pelbagai pihak tampil melakukan gotong-royong membersihkan rumah Aisyah Muhamad, 49, yang mengidap penyakit Parkinson di Kampung Batu Tiong, di sini, semalam.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Alias Harun berkata, ianya merupakan tanda keprihatinan kerajaan selain menunaikan tanggungjawab sosial kepada masyarakat yang memerlukan perhatian.

“Program gotong-royong terbabit turut melibatkan petugas parti iaitu Lajnah Kebajikan, Skuad Khidmat, Unit Amal, Ameerah dan PAS Cawangan.

“Di pihak kerajaan pula membabitkan kakitangan Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera,(I-MiTS) dan Majlis Pembangunan Komuniti Kampung (MPKK) yang bekerjasama menjayakan program CSR anjuran Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang,” ujarnya kepada pemberita ketika ditemui pada Program CSR Pusat Khidmat Rantau Abang di Batu Tiong, Dungun, semalam.


Alias yang juga ADUN Rantau Abang berkata, pemilihan rumah Aisyah dipilih berdasarkan ziarah muslimat yang mendapati penghuninya (Aisyah) dalam keadan tidak terurus.

“Wanita malang itu baru saja kematian suami akibat penyakit angin ahmar. Lebih menyedihkan, ibunya Teh Salleh, 80, yang turut tinggal bersama tidak boleh berjalan.

“ Mereka dijaga dua orang anak yang masih bersekolah, bergilir-gilir  ke sekolah...hari ini abang ke sekolah, adik jaga, esok adik ke sekolah, abang jaga.” Ujar Alias.

Beliau yang juga Ketua Penerangan PAS Dungun berharap, kehadiran petugas yang bertungkus lumus membersih dan menceriakan rumah yang didiami Aisyah, ibu dan anak-anaknya dapat memberi keselesaan kepada keluarga tersebut.

“Diantara kerja-kerja yang dilakukan ialah mengecat dalam dan luar rumah, memasang ‘gril’ dan langsir serta menyediakan katil dan tilam baru”, katanya.

Sementara itu, pengarah program tersebut, Mohamad Ali berkata, aktiviti gotong-royong itu merupakan program CSR pertama diadakan selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) dan ianya akan diteruskan dari semasa ke semasa.

“ Saya kira program sebegini penting dari sudut membina hubungan parti, kerajaan dan masyarakat, jadi kita merancang untuk mengadakannya secara berkala mengikut zon pantai, darat dan bandar”, katanya.

Disamping itu, beliau turut menyeru orang ramai agar menyumbang untuk membantu keluarga Aisyah.

“Memandangkan masih banyak yang diperlukan seperti keperluan rumah dan juga persekolahan anak-anak, bantuan dan sumbangan orang ramai amat bermakna buat keluarga ini, ” ujarnya.
SHARE

Author: verified_user

0 komen: