Wednesday, 8 August 2018

Gajah Liar Terperangkap Angkara Pujukan Abot Dan Rambai

SHARE
Gajah liar yang berjaya dipindahkan sebelum dibawa ke Taman Negara di Tasik Kenyir
Seekor gajah liar yang mengancam keselamatan penduduk Kampung Pelong, Setiu berjaya ditangkap oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu dan akan dipindahkan ke habitat baharu, hari ini.

Pengarah Jabatan Perhilitan negeri, Rahmah Ilias berkata, operasi pemindahan gajah jantan seberat tiga tan yang berusia 10 tahun itu, bermula dari jam 8 pagi hingga 12 tengah hari.

"Seramai 20 anggota termasuk dari Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah, Pahang terbabit dalam operasi pemindahan berkenaan.

“Operasi turut dibantu dua gajah denak betina iaitu Abot dan Rambai bagi menjinakkan gajah liar terbabit untuk dipindahkan ke Taman Negara di Tasik Kenyir," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di Kampung Pelong, Hulu Terengganu, semalam.

Menurut Rahmah, pihaknya menerima aduan daripada penduduk di kawasan berkenaan berhubung gajah liar yang merosakkan tanaman seperti pisang dan nangka.

"Kami menerima laporan daripada penduduk Kampung Pelong bahawa terdapat kira-kira lapan ekor gajah liar telah berkeliaran dalam kawasan pertanian dusun nukleus yang berkeluasan kira-kira 300 ekar.

"Saya harap dengan tertangkapnya gajah-gajah tersebut, kebimbangan penduduk mengenai kehadiran haiwan yang memusnahkan tanaman sejak kebelakangan ini dapat diredakan," ujarnya.

Difahamkan, gajah denak, Abot dan Rambai yang digunakan Perhilitan, mempunyai daya pemujuk bagi menjinakkan gajah liar. Mereka telah berkhidmat lebih 50 kali sejak dilatih pada tahun 2011 di seluruh Semenanjung Malaysia.

Sementara itu, seorang penduduk yang terjejas, Sudin Mahmud, 64, berkata, dia mengalami kerugian melebihi RM5,000 angkara kumpulan gajah itu.

"Tanaman kelapa saya dimusnahkan oleh gajah-gajah yang biasanya akan masuk ke kawasan ini sekitar waktu Maghrib dan Subuh. Biasanya kami takut berada dalam kawasan sebab bimbang keselamatan kami terancam.

"Hari ini rasa lega sebab Perhilitan dah kurangkan buat sementara ancaman gajah dengan memindahkan seekor gajah liar dari sini," katanya.

SHARE

Author: verified_user

0 komen: