Monday, 20 August 2018

Gajah Liar Musnah Tanaman Berjaya Ditangkap

SHARE
Gajah liar betina yang berjaya ditangkap oleh Perhilitan.


KEMAMAN - Pekebun kecil di Kampung Air Putih, di sini, kini boleh menarik nafas lega apabila masalah serangan gajah liar yang merosakkan tanaman mereka sejak sekian lama kini bakal berakhir apabila seekor dari enam sekawan gajah yang menjadi penyebab kepada permasalahan  mereka telah berjaya ditangkap .

Gajah betina seberat 2.8 tan itu berjaya ditangkap Ranu lalu, oleh sekumpulan anggota daripada Jabatan Perlindungan Haiwan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) negeri yang berjaya menjejaki kelibat haiwan tersebut di pinggir Hutan Simpan Air Putih.

Timbalan Ketua Unit Gajah, Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan, Kuala Gandah, Pahang, Mohd Khairul Adha Mat Amin berkata, gajahberkenaan dibawa keluar dengan menggunakan dua ekor gajah denak yang diberi nama Abot dan Rambai.

Menurutnya, operasi membawa keluar gajah liar tersebut telah dimulakan pada pukul 9.00 pagi  dan berakhir pada jam 1 petang berjalan lancar tanpa berlaku sebarang insiden.

"Kita terpaksa menggunakan dua ekor denak tersebut kerana gajah liar ini perlu dipujuk dan dibelai oleh gajah denak ini supaya ianya tidak bertindak agresif ketika proses pemindahan untuk membawa gajah tersebut ke dalam lori ,

"Kita dapati ianya mengalami kecederaan di beberapa bahagian anggota badannya dan kita percaya ianya akibat dari serangan haiwan liar namun kita  telah memberi  rawatan awal sebelum proses membawa keluar gajah tersebut dilakukan," katanya.

Gajah denak terpaksa digunakan untuk memujuk gajah liar tersebut.

Menurutnya, kerja - kerja pemindahan haiwan liar terbabit berjalan lancar tanpa sebarang masalah dan pihaknya akan meneruskan usaha mengesan baki lima sekawan gajah liar yang masih bebas di dalam hutan simpan tersebut.

" Konfilik ini tidak akan berakhir keranan anggota kami akan sentiasa membuat pemantauan demi memastikan keselamatan penduduk kampung dan haiwan itu sendiri dan ianya akan dilakukan sehingga kesemuanya ditangkap," katanya.

Pekebun yang ditemui menyatakan rasa gembira mereka kerana masalah yang membelenggu mereka selama ini menyebabkan mereka mengalami kerugian puluhan ribu ringgit akhirnya mendapat perhatian berwajib.

Namun begitu timbul perasaan bimbang mereka kerana masih ada lagi baki gajah liar yang masih belum ditangkap dan berharap supaya ianya diselesaikan secepat mungkin demi keselamatan mereka.

 Mokhtar Junoh

Bagi Mokhtar Junoh, 62, dia berasa lega apabila mengetahui berkenaan berita penangkapan haiwan tersebut kerana dia sudah menanggung kerugian kira-kira RM10,000 akibat kerosakan tanaman kelapa sawit yang ditanam di kebunnya yang seluas 4.8 hektar.

"Memang saya bersyukur ianya sudah ditangkap tetapi perasaan bimbang tu tetap ada bila memikirkan baki gajah yang belum ditangkap kerana baki gajah yang ada dekat sangat dengan kebun saya," katanya.

Mohd Othman.

Bagi Mohd Othman, 67, pengalaman kejadian seekor gajah yang tidur di belakang rumahnya pada 2017 cukup membimbangkannya kerana kedudukan rumah dan kebunnya begitu hampir dengan pinggir hutan simpan tersebut.
 .
"Saya bersyukur kerana ada pihak yang berwajib sudah mengambil tindakan atas permasalahan kami dan suka apabila seekor sudah berjaya ditangkap tapi kebimbangan itu tetap ada kerana ada lagi yang masih belum ditangkap. Itu yang membimbangkan saya," katanya.



Gajah liar tersebut telah berjaya dibawa masuk kedalam lori untuk dipindah ke habitat yang lain.

Gajah liar tersebut akan dilepaskan ke habitat asalnya di  Taman Negara Tasik Kenyir dan pemantauan akan diteruskan bagi mengesan baki gajah liar sehingga kesemuanya berjaya ditangkap.
SHARE

Author: verified_user

TUHAN TIDAK AKAN MENGUBAH NASIB HAMBANYA KECUALI HAMBANYA BERUSAHA UNTUK MENGUBAH DIRINYA SENDIRI

0 komen: