Friday, 3 August 2018

Festival Peranakan Sasar Tarik 130,000 Pelancong

SHARE
Tun Ahmad Faisal (tengah) ketika sidang media sempena Festival Peranakan Terengganu 2018 di Kampung Tiong.

Festival Peranakan Terengganu 2018 yang bakal diadakan pada 17 hingga 22 Ogos ini mensasarkan kunjungan pelancong sehingga 130,000 orang.

Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri, Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak berkata, jumlah itu dijangka bertambah berbanding 100,000 pengunjung pada festival tahun lalu berikutan terdapat lebih banyak produk baharu diperkenalkan yang akan menarik minat pengunjung.

Katanya lagi, festival ini juga sebagai penjenamaan warisan yang unik bagi membantu nilai tambah kepada produk dan destinasi pelancongan yang terdapat di situ.

"Festival Peranakan Terengganu 2018 yang merupakan kali kelima dianjurkan oleh pihak Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Terengganu  (TCCCI) selepas kejayaan penganjuran pada tahun sebelumnya.

"Perubahan tempat dari jalan Kampung Cina ke sepanjang laluan kawasan Kampung Tiong yang dijadikan "Pedestrian Walk" selama enam hari dengan pelbagai aktiviti harian. Penutupan jalannya bermula pada jam 4 petang sepanjang festival berlangsung,"katanya kepada pemberita di Majlis Sidang Media sempena Festival Peranakan Terengganu di Kampung Tiong, semalam.

Tun Faisal berkata, antara produk baharu yang akan ditampilkan tahun ini adalahkemeja  potong kot selain makanan tradisional yang popular dalam kalangan masyarakat cina peranakan Terengganu.

"Kemeja potong kot adalah kemeja yang telah terkenal sejak sekian lama di sini. Sejak kebelakangan ini kita lihat ia kembali dipopularkan dengan rekaan terbaharu dan lebih menarik.

"Sambutan terhadap kemeja ini juga begitu memberangsangkan dan ia dilihat lebih mudah diterima dan menembusi pasaran," katanya

Tambah beliau lagi, sepanjang program itu berlangsung, pelbagai aktiviti menarik akan diadakan termasuk demontrasi masakan makanan tradisional peranakan, pameran dan persembahan kebudayaan.

"Saya yakin festival  peranakan ini yang diumumkan sebagai salah satu acara utama tahunan di dalam Kalendar Pelancongan Negeri Terengganu berimpak tinggi untuk menarik pelancong kerana keunikannya,"katanya lagi.

Majlis perasmian program yang termasuk kalendar tahunan pelancongan negeri akan disempurnakan oleh Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar di Tapak Festival Kampung Cina pada 17 Ogos ini pada jam 9 malam.

SHARE

Author: verified_user

0 komen: