Thursday, 16 August 2018

FAMA Sasar Duku Di Pasaran Seluruh Negara

SHARE
Mohd Anis merasmikan program bersama Jelani.
KUALA TERENGGANU - Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) akan menyediakan perancangan rapi untuk memastikan hasil duku Terengganu dipasarkan di seluruh negara.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) FAMA, Mohd Anis Mohd Yasin berkata, pihaknya menyediakan pelbagai pelan dan medium pemasaran menjelang musim Duku Terengganu yang bakal tiba tidak lama lagi.

"Pihak FAMA telah sediakan ruang pasaran untuk peniaga-peniaga memasarkan hasil tanaman mereka di pasar tani seluruh Malaysia, bukan hanya di Terengganu," katanya.

Mohd Anis mengagihkan pek buah-buahan kepada pelajar.
Beliau memaklumkan lebih 45 peratus pasaran buah duku berpusat di Lembah Klang dengan  penduduknya lebih ramai berbanding kawasan lain.

"Selain itu, FAMA juga membeli buah duku ini dan memasarkannya di 40 pusat operasi FAMA seluruh negara.

"Tahun lalu, pembelian kita berjumlah hampir RM1 juta dan dijangkakan tahun ini jumlah pembeliannya lebih kurang sama," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita sewaktu merasmikan Kempen Lebihkan Makan Buah-buahan Tempatan di Sekolah Kebangsaan Gong Kapas, di sini, baru-baru ini.

Kempen tersebut merupakan usaha FAMA menggalakkan generasi muda mengenali dan mengamalkan buah-buahan sebagai pemakanan sihat.

Program bantu pelajar mengenali buah-buahan tempatan.
Turut hadir, Pengarah FAMA negeri, Fauzi Mohamed dan Pegawai Pendidikan Daerah, Jelani Sulong.


SHARE

Author: verified_user

0 komen: