Wednesday, 22 August 2018

Dr Samsuri Turun Padang Korban Perdana Rhu Rendang

SHARE
Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berucap dalam majlis tersebut. Foto - Harish Fadzillah
Oleh: Aslam Wira

MARANG - Kerajaan akan memberi bantuan kepada rakyat tanpa mengira latar belakang parti sebagaimana yang dituntut oleh agama dengan mengambil ibrah bersempena Hari Raya AidilAdha.

Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, target kita adalah untuk memberi dan membahagikan daging kepada seluruh penduduk Rhu Rendang yang memerlukan tanpa mengira parti politik mana sekalipun.

"Saya ucapkan terima kasih banyak-banyak kepada tetamu dan pihak yang hadir pada hari ini ke Majlis Sembelihan Perdana bagi DUN Rhu Rendang.


"Semoga mereka yang terlibat di dalam program ini termasuk penyembelih, pelapah daging dan sebagainya, diterima amal mereka oleh Allah SWT," katanya.

Beliau juga menegaskan bahawa hari ini merupakan hari untuk meraikan penerima-penerima sumbangan yang selayaknya dan insya-Allah program ini akan diteruskan pada tahun depan dengan lebih baik, teratur dan meriah.

Program Korban Perdana DUN Rhu Rendang ini bermula pada jam 10:00 pagi di mana sebanyak 22 ekor lembu telah disumbangkan termasuk Pejabat Menteri Besar. individu mahupun Badan Bukan Kerajaan (NGO).

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Korban Perdana Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang di Dataran Pemuda, Kampung Rhu Muda, hari ini (22 Ogos).


Dr Samsuri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rhu Rendang turut mengagihkan daging dan memberikan sumbangan kepada penduduk kawasan Rhu Rendang yang hadir.

Turut hadir, isteri beliau, Tuan Faizah Tuan Abdul Rahman, Pegawai Khas ADUN, Wahad Osman dan Pengarah Majlis Tindakan DUN Rhu Rendang, Haji Daud Jusoh.


Sementara itu, Pengarah Program selaku Ketua Cawangan Rhu Muda, Ustaz Rasyid berkata, mudah-mudahan ibadat korban yang dilakukan pada hari ini mendekatkan diri kepada Allah di samping mengingati orang-orang yang tidak bernasib baik di kalangan kita dengan menghadiahkan daging kepada mereka.

Pengarah MTD Rhu Rendang, Haji Daud Jusoh berkata, beliau berharap program ini akan diteruskan dengan kadar yang lebih baik pada tahun seterusnya.

Program korban perdana ini berjalan dengan baik dan lancar serta mendapat sambutan baik dari kalangan penduduk Rhu Rendang.

Sebanyak 18 cawangan terlibat dalam program tersebut.
SHARE

Author: verified_user

0 komen: