Segala puji dan syukur kepada Allah atas kurniaNya kepada rakyat Terengganu,
kemenangan Parti Islam Se-Malaysia (PAS) mengambil alih tampuk pemerintahan
negeri setelah bertungkus lumus selama 14 tahun bagi memenangi kembali hati
rakyat Terengganu selepas kekalahan pada tahun 2004.
Aktivis PAS, Nasir Abdullah berkata, apapun, tiada gunanya
kemenangan jika ianya gagal diisi dengan pengisian yang selari dengan kehendak
Allah. Ianya juga menandakan bahawa rakyat Terengganu semakin cerdik
berpolitik, sememangnya menginginkan manifesto-manifesto yang dijanjikan,
dipenuhi, walau siapa dan dari parti manapun mereka.
"Saya cuba
memberikan gambaran ringkas kerja-kerja oleh saf kepimpinan Kerajaan Terengganu
yang diketuai oleh YAB Menteri Besar Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar.
"Selain itu, ada juga
cerita belakang tabir yang tidak diketahui rakyat yang saya akan sampaikan demi
memberikan gambaran sebenar kepada rakyat tentang apa yang telah, sedang dan
akan dilaksanakan demi rakyat Terengganu.
"Harus diingat, manifesto PAS
Terengganu tidak pernah menyebut secara khusus dalam tempoh berapa lamakah ia
akan dilaksanakan. Tetapi pastinya sebelum penggal ke-14 ini berakhir. Pastinya janji
manifesto ini sangat realistik. Juga sebagai maklumat tambahan, akan ada
beberapa portfolio yang akan duduk bersama bagi kelancaran perlaksanaan
manifesto-manifesto itu. Jadi ia akan dilihat bertindih tetapi mempunyai fungsi
yang berbeza. Dan apa yang mesti disematkan dalam minda semua ialah Kerajaan
PAS Terengganu mengamalkan Budaya Politik Matang Sejahtera (BPMS) iaitu mendahului
kepentingan rakyat yang akan mengekalkan dan menambah baik apa-apa yang baik
tinggal kerajaan terdahulu dan mengenepikan apa-apa yang tidak baik," ujarnya.
Beliau berkata demikian dalam satu tulisan yang diserahkan kepada pemberita, baru-baru ini (20 Ogos).
Beliau berkata demikian dalam satu tulisan yang diserahkan kepada pemberita, baru-baru ini (20 Ogos).
"Saya mulakan
dengan YAB Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mohkhtar yang memegang portfolio Perancang, Kewangan, Pelaburan, Tanah dan Sumber Asli Manifesto yang dijanjikan
iaitu mengembalikan semula tanah-tanah rakyat yang telah dirampas kerajaan
terdahulu ketika peralihan kuasa tahun 2004, telah dilaksanakan dan diberi
pujian kawan dan lawan. Beliau juga memberikan kelonggaran bagi pemilik tanah
melewatkan bayaran cukai sehingga Oktober ini. Permohonan bagi mendapatkan
tapak rumah juga telah dibuka bagi yang layak.
"Bonus Raya yang ditunggu-tunggu
dengan penuh debar oleh kakitangan kerajaan tempohari kerana bimbang Kerajaan
Negeri keputusan wang kerana ianya hampir habis digunakan oleh pentadbiran
terdahulu, akhirnya diterima sebelum Aidilfitri. Isu royalti yang menjadi duri
dalam daging kepada pentadbiran Kerajaan Negeri sejak dua dekad lalujuga hampir
diselesaikan, selepas pertemuan dengan Perdana Menteri. Usaha bagi menjadi
negeri pengeluar silika juga giat dilaksanakan sekaligus bakal membuka peluang
pekerjaan kepada rakyat.
"YB Ustaz Satiful
Bahari Mamat, memegang amanah sebagai Pengerusi Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi.Antara janji-janji PAS dalam bidang pendidikan ialah mahu
menyediakan sebuah sekolah rendah Islam di setiap Dun dan sebuah sekolah
menengah Islam bagi setiap parlimen. Memandangkan sistem pendidikan memerlukan
sedikit masa jika mahu dibina infrastruktur yang baharu, maka beliau memutuskan
untuk menggunakan prasarana-prasarana yang telah sedia ada bagi menjimatkan kos
permulaan.
"Tempat-tempat seperti Taman Ilmu yang terbengkalai itu juga telah
dilawati beliau bagi melihat sejauh mana kebolehgunaan bangunan itu. Pelan
tindakan sudah ada, insyaAllah pada tahun 2019 ini, sekolah pertama akan
dirasmikan. Manakala dalam hal berkaitan dengan dakwah, beliau menumpukan
kepada kefahaman rakyat kepada perlaksanaan syariah. Pastinya usaha kefahaman
ini tiada penghujungnya," katanya.
Tambah beliau, dengan mengetuai
Portfolio Kerajaan Tempatan, Perumahan,
Kesihatan dan Alam Sekitar, Dr Alias
Razak telah melaksanakan manifesto mengecualikan cukai pintu kediaman. Dan
untuk menunaikan manifesto itu, Kerajaan Negeri akan membayar jutaan ringgit kepada
Majlis Bandaraya dan Majlis-Majlis Daerah yang lain. Hospital baharu turut menjadi
perkara penting yang sedang diberi penekanan. Tiga buah hospital iaitu Unisza,
Dungun dan juga Kemaman, dijangka akan memberikan lebih keselesaan kepada
pesakit, sedang diusahakan agar segera direalisasikan setelah bertahun-tahun
dijanjikan pemerintah terdahulu.
"Berkaitan dengan
kemasukan ke wad-3 secara percuma, insyaAllah ianya hanya menanti detik untuk penguatkuasaannya
sahaja, sebaik selesai beberapa isu lagi dengan Kementerian Kesihatan Malaysia
dengan anggaran belanja oleh Kerajaan Negeri sebanyak RM5 juta setahun. Bagi
membina kira-kira 1000 buah rumah pertama mampu milik, perancangannya dengan
empat projek pertama akan dimulakan hujung tahun ini. Sasaran keseluruhan ialah
20 ribu buah sehingga tamat penggal ini. Bukan itu sahaja, 234 orang pembeli
yang menghadapi masalah perumahan terbengkalai di Padang Setengga, Kuala
Berang, melewati 10 tahun turut ditinjau dan beliau akan menyelesaikan mengikut
lunas-lunas perundangan.
"Jawatankuasa
Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan Negeri pula telah memulakan
usaha-usaha bagi membina insan sebagai satu aset penting negeri. Pengerusinya
YB Ustaz Mohd Nor Hamzah dalam langkah awalnya telah menubuhkan jawatankuasa
bertindak bagi memenuhi manifesto portfolio beliau bagi membina pusat pemulihan
dadah secara holistik dengan kerjasama Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).
Beliau juga memperkenalkan Program Madinah Ramadhan yang mensasarkan bukan
sahaja ibadat tetapi juga membantu memajukan perniagaan rakyat yang berdekatan
dengan tempat program. Taman Tamadun Islam (TTI) bakal menjadi Akademi Dakwah
di negeri ini dan pertemuan dengan wakil TTI sudahpun berlaku. Manakala bagi
memastikan agar masjid-masjid tidak lagi ada masalah ketiadaan pengajar, beliau
sudah berbincang dengan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) bagi
penyelesaian terbaik.
"InsyaAllah akhir
Ogos ini, pertemuan dengan golongan mak nyah yang ingin keluar daripada dunia gelap
mereka akan berlangsung kali kedua. Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI)
diperkemaskan menggantikan Unit Komunikasi (UKOM) dan sedang rancak menjalankan
kerja-kerja menerang pencapaian dan rancangan-rancangan baharu kerajaan negeri. Satu
lagi nadi portfolio beliau, Institut Modal Insan Sejahtera (i-MiTS) ditugaskan
bagi memantapkan penyebaran dakwah dan penerangan sehingga ke peringkat paling
bawah. Stesen Radio Manis FM yang berada di bawah portfolio beliau juga akan
diberikan kekuatan baharu, bukan sahaja akan dimanfaatkan oleh Terengganu,
tetapi juga Kelantan insyaAllah.
"Seorang Exco yang sering turun padang bersama pegawai jabatan dan agensi yang berada dibawah
portfolio Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa, Dr Azman Ibrahim.
Tujuan beliau membawa wakil-wakil itu adalah bagi memberikan ruang seluasnya kepada
rakyat agar dapat berinteraksi secara langsung, berbincang tentang peluang atau
halangan yang ada dalam agenda untuk memajukan sector pertanian Negeri Terengganu,
sekaligus meruntuhkan halangan birokrasi antara rakyat, pegawai dan pimpinan
Kerajaan negeri. Petani-petani kampung pastinya tidak mudah melangkahkan kaki
mereka ke pejabat Exco atau Jabatan Pertanian. Setakat ini sudah lima Dun
dijelajah beliau bersama pasukannya iaitu Jabi, Batu Burok, Kerteh, Pengkalan
Berangan dan Bukit Payong bagi memberi penerangan tentang peluang dan bantuan
daripada kerajaan kepada rakyat terutama muda-mudi dengan semuanya mendapat
sambutan yang hangat.
"Dalam masa yang
sama, beliau juga telah menjelajah ke seluruh negeri bagi mengenal pasti
punca-punca kegagalan projek-projek pertanian terdahulu supaya tindakan
pemulihan dapat diambil. Pengarah Jabatan berkaitan diarahkan menyediakan kertas
putih pelan bagi pemulihan projek-projek gagal dengan segera. Masalah lain
seperti kemudahan infrastruktur di pelabuhan dan kompleks perikanan, turut
diintai beliau. Beliau juga meluluskan kos menaikkan bot karam nelayan di Pulau
Duyung. Semua rancangan dan tindakan sedang berjalan, bukan sekadar sembang. Perkataan
pertanian tiada ditulis secara khusus dalam Manifesto PRU 14 PAS Terengganu,
tetapi seperti pemberian air percuma kepada golongan miskin, 20 ribu peluang
pekerjaan dalam masa empat tahun dan mengembalikan semula tanah-tanah yang
dirampas dan pemberian tanah-tanah baharu, mesti melibatkan portfolio beliau
sebagai pelengkapnya.
"Tokoh
berpengalaman dalam urusan pentadbiran negeri, YB Dato’ Tengku Hassan Tengku
Omar pula ditaklifkan menjaga portfolio Perdagangan, Perindustrian, Pembangunan Wilayah dan Kesejahteraan
Pentadbiran. Untuk tugasan beliau yang melibatkan manifesto pertama ialah pelaburan Lembah
Silika di Jambu Bongkok, dijangka akan menyediakan sebanyak 7600 peluang
pekerjaan. Kedua, membuka peluang pekerjaan di kawasan-kawasan industri dan
usaha bagi kedua-duanya sedang berlangsung. Dalam tugasan perdagangan dan
industri pula, beberapa kilang terpilih yang dahulunya rugi atau ditutup yang
dilihat sangat besar potensinya seperti Perwaja Steel, bakal diambilalih oleh
pelabur baharu dan Eastern Steel akan dibuka semula.
"Beliau juga telah selesai membantu pengagihan dana raya telah
diperluaskan kepada lebih ramai penama, perlantikan Majlis Pengurusan Komuniti
Kampung (MPKK) perlantikan penuh pertama bagi negeri-negeri yang mendapat
kerajaan baharu, perlantikan kakitangan i-MITS, perlantikan kakitangan UPDI dan
perlantikan Ahli Lembaga Pengarah bagi anak syarikat Kerajaan Negeri.
Menyiapkan semua organisasi ini sangat penting terutama bagi melancarkan
perjalanan pentadbiran. Dan beliau sebagai bekas Pegawai Kewangan Negeri,
sememangnya layak bagi tugasan ini," tambahnya.
Sementara itu, bagi YB Ustaz
Ariffin Deraman, Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat
yang diketuai beliau, telah mengadakan beberapa siri perbincangan bagi
meluaskan lagi potensi Terengganu sebagai destinasi pelancongan. Antara perkara
terawal yang dilakukan beliau ialah melihat sendiri keupayaan bas dua alam yang
menjadi isu hangat sebelum PRU lalu. Ianya terpaksa disimpan kerana masalah
teknikal.
"Kawasan Bebas
Cukai Kenyir, Zoo Kemaman dilawati beliau dan keputusannya ialah Kerajaan
Negeri terpaksa menyiapkan kompleks itu kerana ia sudah hampir siap dan belanja
yang sudah dikeluarkan adalah ratusan juta ringgit. Beberapa buah pulau turut
ditinjau beliau dan terbaharu, Pulau Bidong dilihat sebagai berkeupayaan untuk
dimajukan. Ia akan menjadi antara agenda beliau untuk diteruskan perancangan
membangunkannya. Akan tetapi kesemua hal yang melibatkan pelancongan ini akan
diteraskan kepada apa yang ditekankan sebagai “Mesra Muslim”. Bengkel garis
panduan bagi mencapai hasrat ini telah diadakan dengan disertai ahli akademik,
penggiat budaya dan sejarah. Bagi menambah daya saing Teknologi Maklumat pula,
beliau menumpukan untuk mengurangkan jurang digital antara bandar dan luar
bandar dengan mengkaji semula peranan EIO dan Pusat Bestari.
"YB Haji Hanafiah
Mat, yang bertanggungjawab dengan portfolio Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional sudah
menyelesaikan dua manifestonya iaitu Perkahwinan
Perdana yang sekarang akan berlangsung untuk kali kedua dan Pusat Jagaan
Kanak-Kanak bagi setiap agensi kerajaan. Selain itu, bagi ibu tunggal dan juga
bapa tunggal yang mahu berkahwin baru-baru ini, diberikan saguhati. Malah Dana
Raya yang ramai orang menganggap Kerajaan Negeri akan gagal mengagihkannya
kerana faktor kewangan, berjaya diberikan dan dibuka pula kepada lebih ramai
penerima yang layak yang dipinggirkan oleh kerajaan terdahulu. Pada tahun
hadapan insyaAllah manifesto pencen kepada pesara yang layak sebanyak RM50
sebulan akan dilaksanakan, menurut sumber pejabat beliau.
Exco Pembangunan
Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan, YB Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah pula
sedang bertungkus lumus menyiapkan rancangan portfolio beliau untuk memberikan
bantuan sebanyak RM400 bagi belia yang mahu mengambil lesen motor. Beliau juga
sedang sibuk meneliti perkembangan pasukan Sukma Terengganu yang mensasarkan
juara keseluruhan September nanti. Bagi tugasan beliau yang melibatkan NGO,
satu majlis yang dinamakan sebagai Majlis Perundingan NGO, mewakili semua
kluster bakal diwujudkan. Ia akan menjadi penasihat, mata, telinga dan juga
pendukung aspirasi kepada kerajaan untuk mencapai tujuan menjadikan Terengganu
Maju, Berkat, Sejahtera.
"Manifesto bagi
pemberian air 20m3 pertama secara percuma kepada rakyat miskin Terengganu yang
layak adalah di bawah bidang kuasa Jawatankuasa Insfrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau yang dipengerusikan oleh YB Dr Mamad Puteh, sedang berjalan. Pemberian ini
berbeza dengan apa yang dilaksanakan oleh kerajaan terdahulu kerana dahulu diberi
percuma hanya apbila kurang 20m3 dan untuk semua rakyat. Jika melebihi 20m3, ia mesti
dibayar penuh, tiada lagi percuma. Ianya juga terkadang tidak mencapai matlamat
membantu golongan miskin.
"Tetapi skim sekarang,
hanya mereka yang miskin sahaja yang layak dan jika melebihi 20m3 sekalipun, ia
hanya dikira pada kiraan meter bermula (21m3) iaitu yang wajib dibayar hanyalah
1m3 dan begitulah seterusnya. Bagi 834 buah masjid dan surau yang berdaftar
dengan Kerajaan Negeri, kesemuanya menerima 50m3 air percuma daripada Kerajaan
Negeri. Isu Pasar Kuala Berang juga mendapat perhatian dan tindakan beliau
dengan menyelesaikan masalah seperti najis burung yang diadukan oleh peniaga-peniaga.
Selain itu, beliau sekarang memberikan lebih perhatian mengkhususkan kepada
projek-projek kerajaan sebelum ini agar semuanya berjalan baik.
"YB Haji Mohd Nurkhuzaini
Ab. Rahman yang diamanahkan memegang urusan Keusahawanan, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja telah
mengisytiharkan Hari Keusahawanan yang turut ada di dalamnya klinik bagi
usahawan baharu di setiap daerah bertujuan memberi penerangan dan maklumat apa
yang terbaik kepada usahawan melalui agensi-agensi di bawah beliau. Ianya telah
dimulakan di Besut dan Kuala Nerus baru-baru ini. Tidak terhenti setakat itu,
beliau juga telah mengadakan kerjasama bersama Jabatan Tenaga Kerja di bawah ‘Jobs Malaysia’
untuk membantu graduan-graduan yang menganggur mendapat pekerjaan. Disamping
mengekal dan menambah baik skim-skim terdahulu, YB Khuzaini juga memperkenalkan
skim baharu bagi usahawan-usahawan dalam bidang agro dan pelancongan yang belum
diwujudkan sebelum ini. Bantuan kewangan juga dirancang untuk diagihkan kepada
peniaga-peniaga yang berdaftar yang berniaga di tapak yang sah.
"Inilah
antara beberapa cebisan kisah di balik tabir pentadbiran Kerajaan Terengganu,
bermula waktu-waktu awal mereka menduduki tampuk pemerintahan yang saya kutip dan
kongsikan bagi kefahaman semua akan bidang tugas kepimpinan negeri. Ada banyak
lagi, tetapi ada perancangan yang tidak boleh dimaklumkan awal kepada umum. Mereka
berkerja pagi, petang dan tidak sedikit juga waktu malam dihabiskan bagi mereka
memenuhi kehendak seluruh lapisan warga Terengganu. Kerja keras ini bukan hanya
tertumpu kepada melunaskan janji-janji manifesto sahaja, tetapi juga merancang
perkara baharu, melaksanakannya dengan wang rakyat dan memastikan hasil yang
terbaik diperolehi rakyat. Kepercayaan rakyat ini tidak mereka persiakan,
mereka sedang membuktikan mereka adalah lebih baik, malah terbaik dalam
menyempurnakan amanah yang dipikul.
"Ucapan
terima kasih juga harus diberikan kepada kakitangan Kerajaan Negeri dan agensi
disemua peringkat yang sentiasa membantu kepimpinan menjalankan agenda mereka dengan
sikap penuh profesional. Amatlah diharapkan pula kepada penyokong atau ahli PAS
agar tidak terlalu menekan pimpinan bagi mendapat hasil terbaik dengan segera.
Barisan pimpinan kita sentiasa berusaha memberikan yang terbaik kepada rakyat.
Bersabarlah, biarlah orang lain yang berfikir atau bertindak diluar kebiasaan, memberi
tekanan, tetapi bukan kita. Kita mesti menjadi pembantu kepada pimpinan kita
dengan keupayaan yang kita miliki. Kerajaan ini, kerajaan kita," jelas beliau.
0 komen: