Saturday, 11 August 2018

Dewan Pemuda PAS Sasar Peningkatan Ahli Untuk Perkasa Parti

SHARE

Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu (DPPNT) akan terus memperkasakan Pemuda di peringkat parlimen dan cawangan dengan penambahan ahli parti yang baharu.

Ketua DPPNT, Kamaruzaman Abdullah berkata, tumpuan itu diberikan dalam bentuk peningkatan ahli Pemuda sebagai gerak kerja peringkat akar umbi selepas memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) baru-baru ini.

Katanya, ini adalah langkah yang harus dilaksanakan dengan segera supaya PAS mampu mengorak langkah lebih jauh tanpa sebarang masalah dengan mengamalkan budaya politik matang.

"Kita harap melalui Muktamar kali ini, Pas bebas daripada masalah dalaman sekaligus dapat memberikan tumpuan penuh hadapi PRU15.

"Ini merupakan masa untuk kita bekerja demi mengekalkan kemenangan yang telah diperolehi, jangan leka dengan apa yang ada sekarang dan kita perlu terus kerja dan kerja untuk majukan parti.

"Salah satu cara untuk perkasakan parti adalah membuat penambahan ahli dan menarik ahli baru untuk menjadi ahli parti supaya lebih kuat dan perkasa,"katanya.

Beliau berkata demikian di Muktamar Tahunan Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu di Dewan Majlis Daerah Marang, yang dirasmikan oleh Presiden Pas, Dato' Seri Hadi Awang, semalam.

Kamaruzaman berkata, Pemuda PAS merupakan antara penyumbang utama yang telah memberi kemenangan yang tidak terduga pada PRU14.

"Kemenangan yang tidak disangka dengan kecelaruan politik, dengan andaian PAS akan mengalami kekalahan namun dengan pergorbanan yang dilakukan oleh semua pihak terutama anak muda demi menegakkan Islam, akhirnya PAS menang di Terengganu.

"Oleh sebab itu, kita tidak boleh leka dengan kemenangan kerana rakyat sedang menilai apa yang kita lakukan dan sehingga hari ini, kita telah laksanakan hampir separuh dari 20 manifesto yang telah dijanjikan kepada rakyat,"ujar beliau lagi.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: