Friday, 17 August 2018

Daging Dijangkiti TB Tidak Benar

SHARE
Kuala Terengganu - Maklumat daging gelembung berwarna putih yang didakwa dijangkiti kuman Tuberculosis Bovis (TB) adalah tidak benar. 

Dr Suhazeli Abdullah

Pakar Perubatan Keluarga Klinik Kesihatan Ketengah Jaya Dungun,  Dr Suhazeli Abdullah  berkata,  maklumat berkenaan adalah tidak tepat kerana TB yang menjangkiti haiwan terlalu sukar tumbuh di daging atau tulang. 

"Setelah saya selidiki dengan rakan-rakan doktor veterinar, maklumat berkenaan adalah tidak tepat. 

"Tuberkulosis Bovis yang menjangkiti haiwan terlalu sukar tumbuh di daging atau tulang," katanya dalam satu kenyataan media di sini 17 Ogos. 

Minggu ini tersebar secara meluas gambar daging yang mempunyai gelembung berwarna putih. 

Ada dakwaan mengatakan daging berkenaan telah dijangkiti oleh kuman TB, sejenis kuman yang disamakan dengan penyakit Tuberkulosis di kalangan manusia. 


Menurut Dr Suhazeli,  Tuberkulosis Bovis, majoriti terdapat dalam paru-paru haiwan berkenaan. 

Ia  tidak mudah menjangkiti manusia kerana mempunyai struktur biologi berbeza.

Walaupun tambah beliau jangkitan boleh berlaku tetapi terlalu amat jarang. 

"Agri-food Veterinary Authority (AVA) Singapura yang bertanggungjawab terus terhadap mutu makanan juga mengulas isu yang sama. 

"Mereka menyatakan bahawa hasil penyelidikan makmal AVA, tiada pun daging-daging seumpama itu dijangkiti oleh penyakit merbahaya termasuk kuman TB," jelasnya. 

AVA menasihati orang ramai agar tidak terus menyebarkan berita tidak tepat. 

Kajian yang dijalankan oleh Meats and Muscle Biology Section, Dept of Animal Science, Texas Agricultural Experiment Station, mendapati punca gelembung itu terbentuk kerana struktur daging rosak. 

Pendedahan kepada alam sekeliling dan suhu yang tidak sesuai boleh menyebabkan daging tersebut rosak. Ia juga bukan akibat dari bahan kimia plastik pembungkus atau pengawet yang digunakan.

"Pihak berkuasa negara sudah pasti akan memastikan setiap makanan atau daging yang diimport ke dalam negara senantiasa selamat dan halal untuk dimakan. 

"Jika anda mendapati daging atau makanan tidak elok, rosak atau basi, tidak perlulah membeli makanan tersebut, " kata Dr Suhazeli lagi. 

 Katanya,  cari makanan yang bersih, berkualiti dan selamat amat penting demi menjamin kesihatan yang optimum. 

"Jika terdapat penjual yang menjual makanan tidak berkualiti, anda boleh membuat laporan kepada pihak berkuasa tempatan untuk tindakan lanjut, " ujarnya lagi.
SHARE

Author: verified_user


0 komen: