Friday, 24 August 2018

Bapa Yakin Anak Masih Hidup

SHARE
Zamzuradi Othman
KEMAMAN - Bagi keluarga mangsa, kehilangan anak tersayang merupakan satu tragedi yang amat mengejutkan dan tidak menyangka akan kehilangan orang yang tersayang dengan sekelip mata  dan tinjauan di lokasi kejadian mendapati, kesemua keluarga dan sahabat handai masih setia menunggu dengan harapan agar mayat dua lagi mangsa dapat ditemui.

Bapa kepada salah seorang mangsa, Zamzuradi Othman, 46 , berkata, ketika hari kejadian anaknya, Khairil Ikmal Danial, ada memberitahunya tentang hasrat untuk berkelah bersama rakan yang lain di pantai sehari sebelum kejadian.

Tambahnya, sebelum hari  kejadian , anaknya itu ada menunjukkan perubahan sikap di mana dia kerap bangun pada awal pagi dan mengejutkan seorang lagi anaknya untuk berbual sehingga ke lewat pagi.

"Sebelum ini, saya tidak nampak apa - apa perubahan pada anak saya cuma pagi ini saya diberitahu oleh seorang lagi anak saya bahawa dia mengajak adiknya bersembang sehingga awal pagi sedangkan sebelum ini dia tidak bersikap sedemikian.

"Dia berpesan kepada adik supaya menjaga diri dan keselamatan kerana adiknya itu juga sedang melanjutkan pelajaran di Kuala Lumpur dan bila perkara ini terjadi memang menyedihkan kami sekeluarga," katanya.

Sebahagian ahli keluarga mangsa menunggu di khemah yang telah disediakan .
Bagi Zamzuradi, dia redha atas apa yang telah berlaku namun pada firasatnya yakin bahawa anaknya itu masih hidup dan menyerahkan semuanya kepada Allah dan bersiap-sedia untuk menghadapi apa jua kemungkinan nanti.

"Saya redha atas ketentuannya dan kalau boleh saya nak jumpa anak saya secepatnya  kerana saya tak letak sepenuhnya yang dia meninggal kerana  saya tak nampak depan mata saya  dan pada saya masih ada harapan, mungkin dia sakit, terlentang atau terhantuk di tepi pantai, semuanya ada kemungkinan boleh berlaku ," katanya.

Dalam kejadian jam 6.30 petang semalam, Ahmad Daniel Firdaus Zubir, penuntut Universiti MSU, Kuala Lumpur , Khairil Ikmal Danial Zamzuradi, penuntut Politeknik Kota Baharu,Kelantan,   dan Shahir Aqil Shahrun, penuntut Politeknik Sultan Ibrahim ,Johor , yang kesemuanya berusia 19 tahun dikhuatiri lemas  selepas dihanyutkan  arus deras ketika sedang mandi bersama empat lagi rakannya yang lain.

Mayat Shahir Aqil Shahrun telah ditemui terdampar kira - kira 500 meter dari lokasi kejadian pada jam 4.30 pagi tadi dan operasi mencari menyelamat bagi mengesan baki dua mangsa masih diteruskan.

SHARE

Author: verified_user

TUHAN TIDAK AKAN MENGUBAH NASIB HAMBANYA KECUALI HAMBANYA BERUSAHA UNTUK MENGUBAH DIRINYA SENDIRI

0 komen: