Friday, 31 August 2018

‘Bapa Angkat SUKMA’ Jadi Ikutan

SHARE
Cikgu Alias Harun (tengah) bersama 'anak angkatnya' pasukan Muay Thai Negeri Terengganu.
Oleh: Nooreni Abu Bakar

DUNGUN - Pelantikan 'Bapa Angkat' untuk setiap acara sukan yang dipertandingkan pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2018 yang dipelopori Terengganu, kini menjadi ikutan negeri-negeri lain.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga & Perpaduan Nasional negeri, Cikgu Alias Harun berkata, program khusus itu adalah sebahagian daripada mekanisme pemantauan persiapan atlet.

Katanya, ia memberi sokongan kepemimpinan dan penyelarasan program di dalam membantu mewujudkan komuniti berpasukan.

“Pendekatan yang  diperkenalkan ini ialah ‘Bapa Angkat’ turun ke medan , berjumpa dengan atlet-atlet kita, ketika mereka mula latihan lagi dan akan turut serta dalam pertandingan di SUKMA bagi memberi semangat kepada atlet kita”, jelas beliau yang dilantik sebagai ‘Bapa Angkat’ acara sukan Muay Thai di SUKMA Ke-19 nanti.

Tambahnya lagi, ianya juga memberi suntikan nilai-nilai positif dan  motivasi  dalam pembangunan sukan serta meningkatkan semangat juang para atlet dan membantu tingkatkan persediaan mental atlet.


“Bagi negeri Terengganu, ketua kontijennya adalah Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuala Terengganu, Haji  Samiun Salleh,  dan timbalannya ialah Pegawai Daerah Kuala Nerus, Dato' Tengku Faroq Husin Tengku Abdul Jalil," jelas beliau.

Beliau yang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang menambah, temasya sukan dwi-tahunan itu akan diadakan di Perak  bermula pada 12 September sehingga 21 September  2018.

Manakala katanya, pertandingan bagi sukan Muay Thai bermula pada 15 hingga 21 September, 2018 dan gelanggangnya bertempat di  Grik, Perak.

“Pengurus yang terlibat sepenuh masa ialah Hashim Ramli, dan jurulatih salah seorang daripadanya ialah Hafiz Rozaidi Ramli bersama dengan tiga lagi jurulatih”, tambahnya lagi.

Cikgu Alias berkata, Negeri Terengganu menghantar seramai 15 orang  peserta yang terdiri daripada sembilan orang atlet lelaki dan enam orang  wanita.

“Daripada persiapan dan juga laporan-laporan, kita jangkakan dua pingat emas menerusi atlet yang bernama Mohamad Azizi , dengan beratnya ialah 48-51 kilogram bagi lelaki dan menerusi atlet perempuan, Siti Nur Fadhilah, berat  57-60 kilogram bagi wanita," katanya.

Beliau yang ditemui di pejabatnya di Batu 48, pada 30 September juga memaklumkan
bahawa terdapat tiga orang  daripada mereka sedang berada di Hong Kong menyertai pertandingan antarabangsa.

Beliau turut meletakkkan harapan yang tinggi kepada pasukan ‘anak angkatnya’ akan membawa balik pingat emas untuk acara Muay Thai ini bagi Negeri Terengganu.
SHARE

Author: verified_user

0 komen: