Monday, 27 August 2018

Atlet Terengganu Raih Pingat Gangsa Di Sukan Asia 2018

SHARE
Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah (kanan) menyampaikan insentif kerajaan negeri kepada atlet skuasy negara, Mohd Nafiizwan Adnan.
JAKARTA - Atlet Terengganu, Mohd Nafiizwan Adnan menjadi kebanggaan negara dan mengharumkan Negeri Terengganu apabila berjaya meraih pingat gangsa dalam acara perseorangan skuasy lelaki Sukan Asia 2018 yang masih berlangsung di Jakarta dan Palembang.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Ustaz Wan Sukairi Abdullah berkata, walaupun hanya berjaya meraih pingat gangsa, Mohd Nafiizwan Adnan yang merupakan antara anak Terengganu telah mempersembahkan yang terbaik buat negara.

"Kunjungan ke Jakarta sempena Sukan Asia pada kali ini bertujuan untuk memberikan kata-kata semangat buat semua atlet Terengganu yang mewakili negara.

"Mereka bukan sahaja berusaha mengharumkan nama negara, malah telah mengharumkan nama Negeri Terengganu.


Pihak kerajaan negeri turut mengambil kesempatan menyampaikan insentif buat semua atlet negeri yang terpilih mewakili negara sempena Sukan Asia kali ini sebagai salah satu bentuk motivasi buat mereka,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika dihubungi pemberita, hari ini (27 Ogos).

Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wakaf Mempelam mengetuai rombongan Kerajaan Negeri Terengganu bagi mengunjungi Sukan Asia 2018 yang berlangsung di Jakarta dan Palembang.


"Inisiatif yang dimainkan oleh pihak Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) ini meletakkan objektif utama bagi meraikan atlet negara yang berasal dari Negeri Terengganu sebagai salah satu bentuk motivasi untuk mereka.


"Seramai 35 orang atlet yang mewakili negara sempena Sukan Asia 2018 ini berasal dari negeri Terengganu.


"Satu majlis ringkas turut diadakan di wisma atlet atau perkampungan atlet di Kemayoran bersama atlet negara dari Terengganu," ujarnya.

Pihak kerajaan negeri turut menyampaikan insentif sokongan buat semua atlet Terengganu yang terpilih mewakili negara sebagai tanda sokongan pihak kerajaan negeri dalam aktiviti sukan.


Buat masa ini, Malaysia telah berjaya meraih dua pingat emas melalui acara boling dan skuasy, lima perak dan lima gangsa.

Sasaran yang ingin dicapai oleh kontinjen negara masih berpotensi untuk diraih melalui acara sukan yang berbaki.

Wan Sukairi Wan Abdullah bersama ahli rombongan berkesempatan menyaksikan keseluruhan acara separuh akhir perseorangan skuasy lelaki dan wanita di Arena Skuasy Gelora Bung Karna.


Turut bersama menyertai rombongan ini adalah Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Hishamuddin Abdul Karim, Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu, Ibni Amin Busu dan Penolong Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Mohd Rahimee Mohd Ramli, .
SHARE

Author: verified_user

0 komen: