Saturday, 25 August 2018

700 Sertai Kayuhan Komuniti Sayangi Malaysiaku

SHARE
Haji Amzad Hashim ceria dan bersemangat meneruskan kayuhan bersama para peserta. Foto - Tengku Syamim Tengku Ismail
Oleh: Fidee Aziz

KUALA TERENGGANU - Program Kayuhan Komuniti Sayangi Malaysiaku anjuran Kerajaan Negeri Terengganu berlangsung meriah dengan dihadiri kira-kira 700 orang peserta dari seluruh pelusuk negeri.

Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Haji Amzad Hashim berkata, kerajaan dan rakyat harus sama-sama berganding bahu dan membulatkan tekad untuk membina negeri yang baik untuk kesejahteraan bersama.


"Ianya bertujuan untuk merealisasikan hasrat kerajaan negeri untuk mewujudkan sebuah negeri yang maju, berkat dan sejahtera kepada semua.

"Saya mengharapkan program seperti ini dapat terus merapatkan silaturrahim dalam kalangan rakyat Terengganu daripada pelbagai bangsa dengan menzahirkan rasa kecintaan dan kebersamaan kita di dalam menyambut kemerdekaan ini," ujarnya.


Sehubungan dengan itu, beliau mengucapkan tahniah kepada semua peserta dan penganjur di atas kerja keras dan penglibatan program yang bermakna seperti ini dalam menghayati kemerdekaan negara kita.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita dalam Program Kayuhan Komuniti Sayangi Malaysiaku di Dataran Pantai Batu Buruk, Kuala Terengganu, hari ini (25 Ogos).


Sementara itu, menurut Haji Amzad yang juga Timbalan Yang Dipertua Parti Islam Se-malaysia (PAS) Kuala Terengganu, beliau pada asalnya bercadang untuk turut sama menyertai kayuhan dalam jarak satu kilometer sahaja sebenarnya.

"Tetapi oleh kerana semangat yang ditunjukkan oleh anak-anak merdeka kita yang berbasikal, saya teruja untuk turut sama mengayuh sehingga sepuluh kilometer jaraknya," katanya.

Turut hadir, Ketua Pegawai Daerah Kuala Nerus, Dato’ Tengku Farouk Hussin Tengku Abd Jalil, Pengerusi Terengganu Revolution Cycling Team, Wan D’zlyshah Wan Shahreman, Pegawai Khas Menteri Besar, Mohd Sabri Zakaria dan Pegawai Khas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Abdul Fattah Ghani.


SHARE

Author: verified_user

0 komen: