Sunday, 26 August 2018

3,903 Peserta Dijangka Sertai Perarakan Dan Perbarisan Sempena Hari Kebangsaan

SHARE

Seramai 3,903 peserta daripada 102 pasukan mewakili pelbagai jabatan dan agensi swasta dijangka menyertai perarakan dan perbarisan sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-61 peringkat negeri di Dataran Batu Burok, Kuala Terengganu pada 31 Ogos ini (Jumaat).

Pengerusi jawatankuasa kecil perarakan dan perbarisan Sambutan Hari Kebangsaan 2018 peringkat Negeri Terengganu, Dr Alias Razak berkata, ianya melibatkan 84 pasukan untuk kategori bertanding, 18 pasukan bagi kategori tidak bertanding dan empat kategori kenderaan.

“Program perarakan dan perbarisan ini merupakan salah satu acara anjuran kerajaan negeri untuk memeriahkan sambutan Hari Kebangsaan.

“Memandangkan pada tahun ini ianya jatuh pada hari Jumaat yang masanya agak terhad, jadi kita akan memendekkan jarak laluan hanya kepada 2.8 kilometer sahaja bagi memberi laluan kepada kaum muslimin menunaikan solat Jumaat,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika bersiaran menerusi radio Terengganu fm. hari ini.


Dr Alias yang juga merangkap Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri berkata, peserta yang mengambil bahagian akan berkumpul di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu untuk memulakan perarakan dan perbarisan kira-kira pukul 7 pagi yang dijangka berakhir 11.30 pagi di Taman Awam Batu Burok.

Peserta akan melalui Jalan Tengku Ampuan Mariam menghala ke Jalan Sultan Sulaiman terus ke Bulatan Batu Bersurat, menuju ke Jalan Sultan Mahmud serta Jalan Pantai Batu Burok,” ujarnya.

Katanya, Yang Dipertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan bakal merasmikan sambutan itu yang menyediakan hadiah keseluruhan wang tunai berjumlah RM68,500.

Menurut beliau, tujuh kategori dipertandingkan iaitu Jabatan Kerajaan Tidak Beruniform; Badan Berkanun Tidak Beruniform; Jabatan Kerajaan, Badan Berkanun, IPT, Swasta Beruniform; Swasta, GLC, IPT Tidak Beruniform; Pancaragam Sekolah; Pasukan Sekolah Menengah Beruniform dan Pasukan Sekolah Menengah Tidak Beruniform.
SHARE

Author: verified_user

0 komen: