Thursday, 16 August 2018

258 Ibu Bapa Tunggal Terima Insentif Perkahwinan

SHARE
Oleh : Rohayati Ripin
Foto: Harish Fadzillah


KUALA TERENGGANU - Seramai 258 ibu bapa tunggal menerima insentif perkahwinan sebanyak RM258,000 bagi fasa keenam untuk tahun ini.

Pengarah Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu Tuan Haji Mohd Shafaruddin Mustaffa berkata, ianya melibatkan pemberian insentif kepada seramai 258 ibu bapa tunggal di seluruh  Negeri Terengganu.

“Sesungguhnya sebagai seorang manusia yang normal, kita sentiasa perlukan kawan atau rakan dan teman hidup yang akan sentiasa bersama dengan kita ketika dalam kesenangan dan kesusahan.


“Teman untuk bercakap, teman ketika berjalan, teman di waktu makan dan teman tempat mengadu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam  Majlis Penyerahan Cek Saguhati Perkahwinan Ibu Bapa Tunggal Dan Pinjaman Modal Program Jati Diri (PJD) Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu ( YPKT) di Jalan Sultan Omar di sini, semalam (15 Ogos). Beliau turut mengucapkan tahniah kepada pasangan terbabit.

Sehubungan  itu beliau berkata, seramai 60 orang menerima cek pinjaman modal yang berjumlah RM563,000.

Program Pinjaman Jaya tersebut adalah merupakan sebahagian daripada usaha Kerajaan Negeri Terengganu melalui YPKT yang memberi ruang dan peluang kepada golongan yang berpendapatan rendah untuk memajukan diri dan keluarga mereka di dalam bidang keusahawanan.

”Program PJD seumpama ini bukan sahaja sebagai saluran bantuan dan pinjaman kepada rakyat miskin.


“Bahkan ia juga dilaksanakan  dengan pemantauan dan penyeliaan yang berterusan.

"Tahun 2018 ini sahaja, sehingga bulan Jun, YPKT telah mengeluarkan pinjaman sebanyak RM4.9 juta ringgit melibatkan 465 orang penerima,” ujarnya.

Justeru, beliau berpesan agar ibu dan bapa tunggal berdoa agar perkahwinan mereka kekal hingga ke akhir hayat.

“Kepada penerima pinjaman modal jaya diri pula, saya berharap agar penerimaan modal ini akan dapat merealisasikan impian perniagaan anda.

“Jadikan pinjaman yang kecil ini sebagai permulaan kepada suatu perniagaan yang besar.


“Berusahalah dengan seikhlas yang mungkin, berjual belilah dengan setulus yang mampu dan tanamkanlah niat untuk berjaya di dalam hati setiap hari sewaktu melakukan urusan,” tambah beliau.

SHARE

Author: verified_user

0 komen: