Monday, 30 July 2018

Terengganu Mahu Wujud Pusat Pemulihan Dadah Islamik

SHARE
Maliaman menikmati taam bersama wakil-wakil agensi selepas melakukan kunjungan ke Madrasah Khairul Insan di Jenagor

Kerajaan negeri sedang merangka satu pusat pemulihan dadah berkonsep Islamik sepenuhnya bagi membantu penagih dadah pulih seratus peratus menerusi pendekatan kerohanian.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Maliaman Kassim berkata, setakat ini dua lokasi dikenal pasti iaitu di Marang dan Kemaman bagi merealisasikan perancangan tersebut.

"Bangunan sudah ada cuma tunggu kata putus sahaja. Kita datang ke Madrasah Khairul Insan (MKI) di Jenagor ini sebagai kajian asas untuk dilaksanakan pada pusat pemulihan yang akan diwujudkan nanti.

"Di pusat ini, kita dapat melihat dua perkara yang penting iaitu manfaat dari persembahannya dan kelebihan MKI itu sendiri sebab ia berjaya membentuk 'isi dalam' bagi pemulihan penagih walaupun serba kekurangan," katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ajil, berkata demikian kepada pemberita ketika mengadakan kunjungan ke MKI, Jenagor, Hulu Terengganu bersama agensi-agensi dan badan bukan kerajaan (NGO) baru-baru ini.

Tambah Maliaman lagi, baginya MKI cukup istimewa kerana berjaya memulihkan penagih dadah dengan terapi kerohanian mengikut Islam jika dibandingkan tempat lain yang mempunyai pelbagai kelengkapan canggih tetapi masih gagal dalam cara pemulihannya.

"Walaupun banyak kemudahan tetapi mereka gagal bentuk jiwa penagih dadah ini kerana 'isi dalam' masih kosong menyebabkan ada yang tidak pulih sepenuhnya dari masalah penagihan ini.

"Sebab itu, madrasah ini akan dijadikan kajian untuk kerajaan negeri laksanakan pusat pemulihan Islamik dan kita akan lihat sama ada sertai bersama MKI atau dibuat secara berasingan dan juga kekalkan di sini dengan kerjasama kerajaan negeri,"ujarnya.


SHARE

Author: verified_user

0 komen: