Monday, 30 July 2018

Nelayan Mohon JPS Pertimbang Kedudukan Pemecah Ombak Pantai Mengabang Telipot

SHARE
Hishamuddin (berdiri) ketika memberi penerangan kepada para nelayan ketika Sesi Taklimat Bersama Penduduk Dan Nelayan Bagi Projek Pencegahan Hakisan Pantai di Pengkalan Nelayan, Kampung Tengah, Mengabang Telipot Kuala Nerus, hari ini. Foto Oleh: Harish Fadzillah Abu Kasim
Para nelayan di kawasan Pantai Mengabang Telipot, Kuala Nerus memohon Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menimbang semula kedudukan pemecah ombak (Break Water) kedua yang dibina JPS bagi menangani masalah hakisan di pantai itu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tepoh, Hishamuddin Abdul Karim berkata, pembinaan pemecah ombak adalah cetusan idea para nelayan yang telah dipersetujui pihak JPS.

“Kita cuba bawa nelayan bertemu secara langsung dengan pihak JPS untuk meluahkan pandangan dan juga kritikan berhubung pembinaan pemecah ombak dan berlaku sedikit ketegangan berhubung lokasi pemecah ombak kedua.

“Punca pemecah ombak kedua yang menimbulkan rasa tidak puas hati para nelayan adalah disebabkan ianya dibina di bahagian lapis lindung hakisan pantai iaitu berdepan dengan batu di tepi pantai ini sehingga dilihat ianya tidak mendatangkan sebarang manfaat.

 “Jadi pandangan mereka (nelayan) supaya dialihkan atau dianjakkan dari lokasi asal supaya berada dihadapan tempat pendaratan bot nelayan di Pengkalan Nelayan Kampung Tengah yang dilihat lebih praktikal dan efektif untuk melindungi pantai daripada berlaku hakisan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI) pada Sesi Taklimat Bersama Penduduk Dan Nelayan Bagi Projek Pencegahan Hakisan Pantai di Pengkalan Nelayan, Kampung Tengah, Mengabang Telipot Kuala Nerus, hari ini.


Kerja-kerja pembinaan pemecah ombak kedua telah mencapai 90 peratus dan dijangka siap menjelang akhir tahun ini.

Hishamuddin yang juga penduduk kawasan pantai itu mengharapkan pihak JPS mengambil kira suara dan pendapat para nelayan.

“Projek yang membabitkan hakisan perlu dilibatkan nelayan sebab mereka walaupun tidak ada ilmu kejuruteraan, tetapi pengalaman yang ada pada mereka ini terbukti banyak membantu untuk kita mengawal hakisan dan juga dapat pulihkan balik pantai.

“Saya rasa, walaupun dilihat nelayan satu kelompok kecil masyarakat tetapi idea dan pandangan mereka perlu diketengahkan dan perlu diberikan perhatian oleh pihak kerajaan,” ujarnya.

Katanya, beliau dan penduduk kampung yang terlibat cukup terkesan dengan apa yang berlaku (hakisan pantai).

“Kami sangat berharap ianya tidak merebak dan pihak berkaitan boleh mencari satu penyelesaian yang tuntas melalui pengalaman-pengalaman di negara lain yang boleh diterokai.

“Dengan teknologi yang ada pada hari ini diharapkan ianya boleh pulihkan balik kawasan Pantai Mengabang Telipot ini khususnya dan Terengganu akan kekal sebagai sebuah negeri yang memiliki pantai yang cantik dan indah untuk dikunjungi,” ujarnya.
SHARE

Author: verified_user

0 komen: